Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit melanjutkan keuntungannya pada Selasa untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS. - Foto hiasan

Ringgit melanjutkan keuntungannya pada Selasa untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS. – Foto hiasan

RINGGIT melanjutkan keuntungannya pada Selasa untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS selepas pelabur berundur daripada mata wang selamat berikutan ketidaktentuan pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4820/4860 berbanding dolar US daripada 4.4925/4965 yang direkodkan semalam.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga akan memantau data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dikeluarkan lewat pada Selasa.

Beliau berkata, AS/MYR sudah berada dalam kedudukan terlebih jual, yang mana ringgit terjejas teruk oleh dasar Rizab Persekutuan (Fed) yang agak agresif sejak awal Februari lepas.

“Bagaimanapun, nasib mula berubah selepas krisis Silicon Valley Bank (SVB) mengejutkan semua pihak, yang membawa kepada jangkaan Fed yang lebih lemah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4474/4523 daripada 5.4292/4340 yang dicatatkan semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.8007/8050 daripada 4.7957/8000, ia bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3383/3415 daripada 3.3727/3763 sebelum ini.

Sebaliknya, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 291.20/291.70 daripada 292.10/292.25, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3254/3286 daripada 3.3354/3389 dan mengukuh berbanding euro kepada 8.13/8.14 daripada 8.17/8.18 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9830/9999 daripada 12.9819/9994. – Bernama

Sumber