Lotus’s lancar Payung Rahmah bantu kurangkan kos sara hidup

Lotus’s lancar Payung Rahmah bantu kurangkan kos sara hidup

LOTUSS Stores (M) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) melancarkan inisiatif Payung Rahmah Lotus’s sebagai usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat di negara ini.

Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pihaknya komited mengadakan Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bermula Selasa sebagai usaha berterusan dalam mewujudkan impak positif kepada komuniti kurang berkemampuan.

“Ramai berasa tertekan dengan peningkatan kos sara hidup terutamanya golongan B10 dan B40.

“Kami berharap dengan pengenalan inisiatif Jualan Rahmah ini dapat membantu meringankan beban pelanggan dengan menyediakan penjimatan sehingga 50 peratus kepada mereka melalui 6,000 produk apabila mereka membeli-belah di semua cawangan Lotus dan platform Lotus’s Shop Online kami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Kenneth, pelanggan juga boleh menikmati penjimatan daripada 30 peratus untuk produk makanan asas dan barangan kembali ke sekolah di bawah tawaran Pakej Rahmah.

Ujarnya, pada masa sama pelanggan dapat membeli makanan menerusi inisiatif Menu Rahmah iaitu berharga RM5 di semua medan selera Lotus.

Selain itu, beliau memaklumkan melalui program komuniti #KitakanJiran Lotus’s, syarikat peruncitan akan menyumbang 1,200 Bakul Rahmah yang bakal memberi impak kepada 8,000 individu memerlukan di 200 rumah kebajikan.

“Mereka mendapat akses seperti sayur-sayuran segar, buah-buahan, roti dan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak sepanjang tahun.

“Semangat #KitakanJiran mendorong kami di Lotus’s untuk membantu lebih banyak komuniti di sekeliling kami,” katanya.

Dalam pada itu, Kenneth berkata, pihaknya juga mempunyai program berterusan dengan rakan amal iaitu Kechara Soup Kitchen yang dinamakan Sama-Sama Hidup Baru di mana menyediakan makanan, kit kebersihan, sesi gunting rambut percuma dan peluang pekerjaan kepada golongan miskin bandar di stor Lotus’s Malaysia.

Tambahnya lagi, pelanggan juga dialu-alukan untuk menyumbang dengan menderma 390 mata My

Lotus’s melalui aplikasi Lotus’s Malaysia.

“Seterusnya, pada Ramadhan ini, sukarelawan #KitakanJiran akan menyediakan dan mengagihkan 2,000 hidangan Berbuka Puasa kepada komuniti memerlukan di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah,” ujarnya.

Kenneth turut memaklumkan mengenai program sumbangan makanan secara harian dari 65 cawangan Lotus’s Malaysia di seluruh negara.

Katanya, sehingga Disember 2022, Lotus’s Malaysia telah menyumbangkan lebih dari 2.42 juta kilogram makanan bersamaan dengan 10.4 juta makanan kepada individu dan keluarga B10 dan B40 melalui rakan kongsi amal Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

Sementara itu, beliau berkata, bermula 9 Mac hingga 10 Mei depan, kempen Sama-Sama Berseri RamRaya Lotus’s menawarkan pelangga dengan diskaun sehingga 50 peratus untuk barangan terpilih selain penjimatan dengan baucar diskaun disediakan dalam bentuk cetakan dan e-katalog.

“Turut dipromosikan adalah rekaan pakaian Hari Raya seperti set baju kurung pada harga sebanyak RM49.90, set Baju Melayu (RM69.90), Kurta (RM39.90) dan set Bayi (RM22.90),” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub merasmikan pelancaran inisiatif Payung Rahmah Lotus’s di Lotus’s Selayang pada Selasa.

Salahuddin berkata, sokongan yang diperoleh dari Lotus’s Malaysia sebagai rakan strategiknya adalah satu petanda kejayaan berterusan bagi inisiatif Payung Rahmah.

Sumber