Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut meskipun terdapat tanda-tanda pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang lemah mampu mendorong pendirian Rizab Persekutuan (Fed) cenderung ke arah penurunan kadar.

Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.6720/6765 berbanding dolar AS 4.6665/6700 ketika ditutup pada Rabu.

Menurut tinjauan Job Opening and Labor Turnover, peluang pekerjaan di AS jatuh kepada 8.7 juta pada Oktober, di bawah jangkaan anggaran konsensus sebanyak 9.3 juta dan turun berbanding rekod tertinggi yang dicatatkan sebanyak 12.0 juta pada Mac 2022.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, angka peluang pekerjaan AS yang di bawah jangkaan itu jelas menunjukkan bahawa permintaan buruh yang semakin menurun mungkin mendorong pertimbangan semula pendirian monetari dalam kalangan anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

“Ini amat penting kerana mencapai guna tenaga maksimum adalah salah satu matlamat pencapaian mandatnya, manakala matlamat kedua adalah kestabilan harga, yang berkaitan dengan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, wujud hubungan positif selepas meneliti korelasi antara Kadar Peluang Pekerjaan (JOR) dan pertumbuhan Purata Pendapatan Setiap Jam (AHE).

“Oleh itu, jika perniagaan memilih untuk mengurangkan tenaga kerja mereka, ia boleh membawa kepada penawaran gaji yang lebih rendah, sekali gus memberi kesan kepada inflasi, memandangkan kaitannya dengan pertumbuhan gaji,” katanya.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, data perdagangan China menunjukkan peningkatan, dengan eksport tumbuh 0.5 peratus pada November berbanding anggaran konsensus penguncupan 1.1 peratus.

Ini adalah pertumbuhan positif pertama untuk eksport China selepas kekal dalam lingkungan negatif selama enam bulan berturut-turut, katanya.

“Secara keseluruhannya, kami percaya pasaran pertukaran asing masih dalam keadaan bimbang terhadap hala tuju dasar monetari AS berikutan mesyuarat FOMC terakhir bagi tahun ini yang semakin hampir.

“Itu boleh menjelaskan mengapa kadar dolar AS-ringgit terus kekal sedikit di atas paras sokongan serta-mertanya pada RM4.6611,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding pound British kepada 5.8802/8858 daripada 5.8793/8837 ketika ditutup pada Rabu, susut berbanding yen Jepun kepada 3.2243/2276 daripada 3.1672/1700 sebelum itu.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu hampir tidak berubah berbanding euro kepada 5.0359/0408 daripada 5.0356/0394 semalam.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean yang lain.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.44/8.45 pada Rabu, merosot berbanding baht Thai kepada 13.2803/3014 daripada 13.2714/2908 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4884/4920 daripada 3.4801/4830 semalam.

Ringgit juga hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 301.0/301.5 daripada 301.1/301.5 sebelumnya. – Bernama

Sumber