Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS selepas ditutup dalam julat negatif minggu lepas berikutan angka senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Julai yang rendah, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5575/5625 berbanding dolar AS daripada 4.5515/5565 pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan minggu ini adalah pada Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk bulan Julai.

“Anggaran konsensus pada kadar inflasi 3.3 peratus yang lebih tinggi daripada pertumbuhan 3.0 peratus pada Jun.

“Sehubungan itu, pasaran mungkin masih bimbang sama ada Rizab Persekutuan akan mengekalkan pendirian pengukuhan mereka semasa terdapat tanda-tanda ekonomi lemah. Itu menjadikan dolar AS disokong dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, dolar AS telah menunjukkan pengukuhan secara menyeluruh, yang mungkin disebabkan oleh daya tahan pertumbuhan dan hasil AS yang tinggi.

“Bagaimanapun, terdapat risiko ekonomi AS berkembang pada kadar yang tidak mampan, yang menjelaskan hasil dan dolar AS boleh kekal stabil atau meningkat, walaupun terdapat kemajuan ke arah mencapai keseimbangan yang lebih baik antara inflasi dan pertumbuhan.

“Ini menyebabkan dolar AS kekal kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Innes berkata, yuan China turut rendah hari ini berikutan peniaga cuba menentukan impak ekonomi sebenar daripada rangsangan yang diunjurkan oleh People’s Bank of China.

“Pada amnya, yuan yang rendah dilihat sebagai petunjuk negatif bagi ringgit,” katanya.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2018/2056 daripada 3.1898/1935 pada Jumaat lepas, rendah berbanding euro kepada 4.9978/0032 daripada 4.9816/9871 dan susut berbanding pound kepada 5.7971/8035 daripada 5.7836/7899 sebelum ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3968/4008 daripada 3.3891/3933 pada Jumaat lepas dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 300.0/300.6 daripada 299.9/300.5 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.14 daripada 8.16/8.17 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0801/0997 daripada 13.0835/1043 sebelum ini. – Bernama

Sumber