Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

RINGGIT dijangka terus bergerak dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan para pelabur lebih berhati-hati sejajar dengan perkembangan ekonomi global, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, para pelabur sebaliknya akan memberi tumpuan terhadap angka inflasi AS yang akan diumumkan pada minggu depan.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dijangka mencecah 8.3 peratus tahun ke tahun pada Mac yang berdasarkan anggaran konsensus daripada 7.9 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) akan turut membuat kenyataan kepada orang ramai berhubung usaha memajukan dasar monetari negara itu.

“Kenyataan mereka yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah sudah pasti akan membantu meningkatkan lagi nilai dolar AS. Berikutan itu, ringgit dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan pada paras 4.22,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, para pelabur akan turut memantau perkembangan membabitkan lonjakan kes Covid-19 di China di tengah-tengah persekitaran pendirian Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah, sekali gus meletakkan ringgit dalam dagangan yang lebih bersifat bertahan.

“Kebanyakan tumpuan lebih kepada pendirian Fed. Namun, ini tidak bermakna faktor lain seperti perkembangan di Asia boleh diketepikan, termasuk kemungkinan kesan stagflasi inflasi akibat tindakan China melaksanakan sekatan pergerakan,” katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.2195/2230 pada Jumaat berbanding 4.2110/2135, seminggu lepas.

Ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4004/4034 daripada 3.4376/4399 seminggu sebelum ini dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0953/0981 daripada 3.1061/1082.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5026/5072 daripada 5.5286/5319 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.5858/5896 daripada 4.6557/6584. – Bernama

Sumber