Ambank Islamic kini rakan strategik TH, tawar transaksi dalam talian

Ambank Islamic kini rakan strategik TH, tawar transaksi dalam talian

AMBANK Islamic Bhd (AmBank Islamic) kini menawarkan perkhidmatan transaksi Lembaga Tabung Haji (TH) dalam talian menerusi aplikasi AmOnline sebagai sebahagian inisiatif terbaharunya sebagai rakan strategik TH.

Dalam kenyataan bersama, Ambank Group dan TH menjelaskan pelanggan AmBank atau AmBank Islamic yang memiliki akaun TH boleh melaksanakan sebarang urusan dalam talian pada bila-bila masa selain pendeposit boleh membuat pindahan simpanan antara akaun AmBank/AmBank Islamic dan akaun TH.

“Pendeposit juga boleh membuat pertanyaan baki akaun, serta mendapatkan penyata akaun TH. Selain itu, perkhidmatan pendaftaran haji serta semakan status pendaftaran haji juga boleh dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian ini,” tambah Ambank dan TH.

AmBank Islamic merupakan cabang perbankan Islam AmBank Group dan menawarkan rangkaian komprehensif produk dan perkhidmatan perbankan runcit dan bukan runcit patuh syariah, termasuk penyelesaian pelaburan, perbendaharaan dan perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kerjasama strategik ini merupakan inisiatif penting bagi AmBank Islamic dalam pelan digitalnya untuk mempromosikan pelbagai tawaran perkhidmatan dalam talian kepada pelanggan dan rakan kongsi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin pula berkata, kerjasama strategik itu pastinya meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara.

“Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik daripada para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian.

“Susulan penyertaan AmBank Islamic sebagai Rakan Strategik terbaharu TH, pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan AmBank/AmBank Islamic sendiri,” katanya.

Sempena jalinan kerjasama itu, TH dan AmBank Islamic melancarkan kempen ‘Dah Link TH & AmBank?’ untuk semua pelanggan dengan menawarkan cabutan bertuah berupa hadiah menarik seperti pakej umrah, jongkong emas, iPhone, tablet, Thermomix dan lain-lain, tertakluk kepada terma dan syarat.

Kempen ini bermula 1 April sehingga 30 Jun 2022.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi talian THCC di 03-6207 1919 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rakan strategik terkini TH atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH. – Bernama

Sumber