Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas dolar mengalami penurunan susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap hala tuju Rizab Persekutuan AS (Fed) dan ekonomi China, kata penganalisis.

Pada masa sama, semua perhatian tertumpu kepada pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia hari ini, yang boleh memberi lebih banyak petunjuk berhubung ekonomi negara dan penilaian terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6355/6400 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6550 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbezaan pendirian dasar monetari di antara Fed dengan People’s Bank of China (PBoC) akan menggalakkan dolar AS dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ASD/MYR mencapai kedudukan terlebih jual berdasarkan petunjuk teknikal seperti Indeks Kekuatan Relatif.

“Ini membayangkan bahawa penurunan ringgit selanjutnya mungkin agak terhad,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, KDNK Malaysia bagi suku kedua 2023 dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Data perdagangan Julai juga akan diumumkan hari ini, dengan eksport dan import dijangka susut masing-masing sebanyak 11.1 peratus dan 15.4 peratus.

“Jika berlaku, ini akan menandakan penurunan eksport dan import bagi bulan kelima berturut-turut, menunjukkan bahawa faktor luaran berkemungkinan mempengaruhi prestasi ekonomi keseluruhan untuk 2023,” katanya.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata jika USD/MYR tergelincir di bawah paras 4.6350, pasangan mata wang itu boleh susut serendah 4.5750.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya.

Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1848/1881 daripada 3.1832/1846 ketika ditutup pada Khamis namun naik berbanding euro kepada 5.0481/0530 daripada 5.0602/0618.

Ringgit turut tinggi berbanding pound British kepada 5.9117/9174 daripada 5.9211/9230.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara Asean lain.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4162/4198 daripada 3.4212/4228 ketika ditutup pada Khamis serta tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.1031/1211 daripada 13.1306/1423.

Ringgit lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.19/8.20 semalam namun, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 303.3/303.7 daripada 304.4/304.7. – Bernama

Sumber