Nilai runcit industri vape Malaysia meningkat kepada RM3.48 bilion

Nilai runcit industri vape Malaysia meningkat kepada RM3.48 bilion

NILAI runcit industri vape Malaysia telah berkembang secara mendadak sebanyak kira-kira 53 peratus daripada RM2.27 bilion pada 2019 kepada anggaran RM3.48 bilion pada 2023.

Perkara itu didedahkan oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) ekoran bilangan pengguna meningkat disebabkan ramai perokok beralih kepada vape.

Penemuan ini adalah sebahagian daripada Kajian Industri Vape Malaysia 2023 DPVM, yang mendapati 31 peratus perokok Malaysia telah beralih sepenuhnya kepada vape.

Sementara itu, 69 peratus perokok menggunakan vape yang mana separuh daripada mereka menggunakannya untuk berhenti merokok.

Laporan berkenaan juga menyaksikan sumbangan sektor itu kepada ekonomi meningkat dengan ketara berikutan bilangan tenaga kerja yang diambil bekerja dalam industri tersebut.

Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli berkata, kajian jelas menunjukkan industri vape terus berkembang dari semasa ke semasa.

Katanya, selain daripada menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dan membantu perokok berhenti merokok, ia juga telah meningkatkan pertumbuhan usahawan tempatan dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan di seluruh rantaian bekalan.

“Kami tertarik dengan komitmen kerajaan untuk mengawal selia industri vape melalui pengenalan rangka kerja percukaian dan pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Rang Undang-undang).

“Walau bagaimanapun, dasar Generasi Penamat (GEG), yang merupakan sebahagian daripada Rang Undang-undang membimbangkan DPVM,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Tambah Ridhwan, pelaksanaan dasar GEG boleh membantutkan pertumbuhan itu sekali gus menyebabkan kehilangan pekerjaan dan menjejaskan kehidupan ramai individu, terutama mereka dalam komuniti bumiputera.

“Ia juga akan menghantar mesej yang salah kepada perokok dengan meletakkan vape dalam kategori sama seperti rokok, yang secara tidak langsung akan menghalang perokok untuk beralih kepada vape untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Ridhwan menjelaskan, data untuk Kajian Industri Vape Malaysia 2023 diperoleh melalui dua cara iaitu penglibatan langsung dengan pemain industri dan tinjauan pengguna dalam talian.

“Penemuan daripada kajian industri itu menunjukkan bahawa bilangan perniagaan vape telah berkembang sejak beberapa tahun lalu.

“Pada masa ini, kira-kira 7,500 kedai runcit am menjual produk vape dan 2,500 kedai runcit. Tenaga kerja juga telah meningkat daripada 15,000 kepada 31,500 pada tahun 2022,” ujarnya

Menurutnya, Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa kerana kepakarannya dalam mengeluarkan produk vape berkualiti tinggi, khususnya e-cecair.

“Ini meletakkan kami pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti ke dalam negara, sekali gus mengukuhkan ekosistem perniagaan vape.

“Matlamat Kajian Industri Vape Malaysia 2023 adalah untuk menyediakan kerajaan dengan data industri terkini untuk diambil kira semasa merangka undang-undang untuk industri,” katanya.

Sumber