Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan mata wang negara maju mengukuh ketika potensi yang berterusan kepada kenaikan kadar faedah.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3950/3975 berbanding dolar AS daripada 4.3870/3910 pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, maklumat terkini data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) memberikan isyarat bahawa keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal positif dengan jumlah pekerjaan yang dihasilkan berjumlah 390,000 pada Mei, melebihi anggaran konsensus sebanyak 328,000.

Sehubungan itu, beliau berkata, dolar AS mengatasi semua mata wang utama seperti euro, pound Britain dan yen.

“Oleh itu, dolar-ringgit perlu kekal dalam lingkungan RM4.39 hari ini, manakala tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada mesyuarat Bank Pusat Eropah pada Khamis, selain Indeks Pengeluar Pengguna AS pada Mei dengan anggaran konsensus pada sekitar 8.2 peratus (April: 8.3 peratus),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1889/1910 daripada 3.1947/1981 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5008/5039 daripada 5.5171/5221 sebelum ini.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6956/6983 daripada 4.7143/7186 pada Jumaat dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3230/3251 daripada 3.3728/3759 sebelum ini. – Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber