Ringgit dibuka lebih tinggi pagi ini

Ringgit dibuka lebih tinggi pagi ini

Gambar hiasan - Foto Bernama

Gambar hiasan – Foto Bernama

RINGGIT dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini selepas senarai gaji bukan pertanian (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan lebih lemah dan ini telah membantu menstabilkan mata wang tempatan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan menambah nilai kepada 4.6555/6600 berbanding dolar AS daripada 4.6655/6675 pada penutup Jumaat.

NFP AS merekodkan 209,000 pada Jun 2023 berbanding jangkaan 220,000 dan ia merupakan paras terendah sejak Disember 2020.

Selain itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, mesyuarat dua hari antara Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen dengan pegawai tertinggi di Beijing, China turut membantu menaikkan sentimen peniaga memandangkan ketegangan AS-China dijangka mereda.

“Bagaimanapun, peniaga masih mengambil sikap berhati-hati menjelang laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS dan data aktiviti China minggu ini yang semakin lemah,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, data NFP AS memberi petunjuk bercampur-campur mengenai keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 25 Julai.

Sementara itu, ringgit diniaga rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.1043/1092 daripada 5.0765/0787 pada penutupan Jumaat, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2668/2702 daripada 3.2601/2617 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.9707/9765 daripada 5.9466/9492 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.4549/4585 daripada 3.4511/4528 pada penutupan urus niaga Jumaat dan rendah berbanding baht Thai untuk mencatatkan paras 13.2484/2658 daripada 13.2471/2588.

Namun begitu, nilai ringgit lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 307.4/307.8 daripada 308.0/308.3 dan mengukuh berbanding peso Filipina pada 8.38/8.40 daripada 8.39/8.39. – Bernama

Sumber