redONE tawar 10,000 peluang pekerjaan

redONE tawar 10,000 peluang pekerjaan

REDONE Network Sdn Bhd (redONE) menawarkan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi, kata Ketua Pegawai Jualannya, Ben Teh.

Menurutnya, tawaran berkenaan merupakan satu daripada dua insentif yang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan menerusi program redONE Preneur Sales Advisor (RPSA) selain Program redBANTUAN khusus untuk rakan niaga mereka.

Katanya, ia sesuai untuk mereka yang sedang mencari atau sedang belajar dan pekerja gig yang mahu menambah pendapatan dengan waktu bekerja fleksibel dan tanpa kos permulaan yang tinggi.

“Program RPSA terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi penasihat jualan redONE.

“Mereka yang mengambil bahagian akan diberi bimbingan dan latihan profesional untuk memasarkan produk serta servis yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aliran pendapatan untuk RPSA termasuk pembayaran insentif yang tinggi bagi pengaktifan talian pascabayar dan komisen berterusan serta elaun bulanan sehingga RM3,000 untuk RPSA sepenuh masa.

“RPSA juga boleh menarik pelanggan dengan pelbagai jenis produk lain seperti kad kredit redCARD, insurans kereta dan perjalanan redCARE serta gajet mudah alih daripada redMALL.

“Mereka yang cemerlang layak menerima insurans percuma disediakan oleh redCARE selain menyertai redONE Car Bonanza yang menawarkan hadiah berupa 20 kereta baharu,” katanya.

Sementara itu, Teh berkata, program redBANTUAN pula ialah satu pelan sokongan kewangan yang komprehensif untuk membantu rakan niaga redONE dari segi penangguhan pembiayaan, subsidi sewa kedai dan pinjaman wang tunai.

Jelasnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi bantuan subsidi sewa kedai dan penangguhan pembayaran manakala RM10 juta untuk pinjaman.

“Sebagai penyedia servis penting, kami merasakan perlu untuk menghulurkan bantuan dengan menyediakan saluran kepada orang ramai untuk menjana pendapatan tambahan.

“Oleh itu, sebanyak 100 Kedai Premier kami di seluruh negara akan menjadi pusat latihan kepada Program RPSA,” katanya.

Info lanjut mengenai program RPSA boleh diperoleh di redone.com.my/telcopreneur.



Sumber