Produk koperasi tembusi Singapura

Produk koperasi tembusi Singapura

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berjaya meluaskan akses pemasaran produk koperasi tempatan ke Singapura, hasil perjanjian persefahaman (MoA) dimeterai bersama Amaxmall Sdn Bhd (Amaxmall).

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, MoA bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam projek khas pemasaran produk koperasi di bawah program ‘100 Produk Champion’ yang diterajui Angkasa ke Pasaraya Hoa Mart di Singapura melalui Amaxmall.

Menurutnya, perjanjian berkenaan secara tidak langsung menjadikan Singapura sebagai negara kedua selepas Brunei dalam program berkenaan yang diwujudkan untuk menembusi pasaran luar negara, terutamanya ASEAN.

“Sebagai permulaan, sebanyak 29 unit simpanan stok (SKU) daripada 11 koperasi akan dipasarkan di rak Pasaraya Eccenlente by Hao Mart @Kinex Mall, Singapura pada Oktober ini. Ia kemudiannya akan dikembangkan ke cawangan Hao Mart pada 2021 nanti.

“Buat masa ini, pasar raya berkenaan mempunyai 56 cawangan di seluruh Singapura. Kami akan menambah jumlah SKU dan koperasi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis MoA Projek Khas Pemasaran Produk Koperasi ke Pasaran Hao Mart, Singapura di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

MoA ditandatangani oleh Abdul Fattah mewakili Angkasa manakala Amaxmall Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Dr Nik Sarina Lugman Hashim.

Hadir sama, Naib Presiden Angkasa, Dr Mohd Azlan Yahya dan Ketua Pegawai Operasi AmaxMall, Nik Harris Nik Kamarudin.

Abdul Fattah berkata, projek berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama antara Angkasa dan Amaxmall yang sebelum ini memasarkan produk koperasi di beberapa pasar raya besar di Malaysia.

Sementara itu, Nik Sarina berkata, Amaxmall mengunjurkan jualan berjumlah RM1 juta dalam tempoh setahun di pasaran seberang tambak itu.

“Amaxmall komited untuk menjayakan projek pemasaran produk koperasi ke Singapura bersama-sama pihak Angkasa.

“Ini merupakan satu peningkatan yang menunjukkan terdapat permintaan daripada rangkaian peruncitan kukuh di Singapura bagi produk koperasi Malaysia,” katanya.



Sumber