redONE lancar platform pinjaman wang dalam talian, redCASH

redONE lancar platform pinjaman wang dalam talian, redCASH

OPERATOR Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Network melancarkan platform pinjaman wang dalam talian pertama negara oleh Operator Telekom iaitu redCASH.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus berkata, platform itu akan menyediakan pinjaman mikro antara RM1,000 hingga RM10,000 pada kadar faedah yang menarik, khusus untuk pelanggan setia redONE.

“Ini merupakan pencapaian utama untuk redONE dalam menawarkan pelan pascabayar dan prabayar yang mampu dimiliki oleh semua pelanggan.

“Kami sangat teruja dengan pelancaran redCASH kerana bakal menyumbang kepada pasaran fintech di Malaysia. Menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan ini merupakan peristiwa penting bagi kami sejak penubuhan redONE, 11 tahun lalu,” katanya ketika majlis pelancaran redCASH di Glasshouse Seputeh, pada Isnin.

Farid (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran redCASH. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Farid (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran redCASH. – Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, beliau memberitahu, redCASH direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan setia redONE dengan ciri tersendiri.

Katanya, pinjaman itu tersedia secara eksklusif untuk pelanggan setia redONE dan proses kelulusan tidak mengambil tempoh masa yang lama.

“Kaedah pembayaran pula begitu mudah iaitu melalui perbankan dalam talian, JomPAY dan pembayaran tunai pada peniaga redONE yang mengambil bahagian.

“Kami faham bahawa akses kepada kredit merupakan cabaran utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Dengan redCASH, kami boleh menyediakan pinjaman mikro kepada pelanggan yang mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman melalui saluran tradisional,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services Malaysia, Dawn Lai berkata, redCASH diwujudkan melalui perkongsian strategik dengan Experian Information Services Malaysia iaitu agensi penarafan kredit terkenal.

Menurutnya, Experian akan memberikan penilaian kredit pelanggan redONE dan menentukan kelayakan Nisbah Perkhidmatan Hutang (DR) mereka.

“Experian berbesar hati untuk menyokong platform membuat keputusan automatik redCASH yang mempercepatkan keputusan kredit dengan membenarkan redONE menentukan dengan cepat sama ada pemohon mampu membuat pinjaman.

“Ini menentukan bahawa mereka membuat keputusan pinjaman mampan sambil melindungi pengguna Malaysia dalam membuat keputusan peminjaman yang betul untuk diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, redONE juga telah diiktiraf secara rasmi oleh The Malaysia Book of Records sebagai Telco Pertama di Malaysia yang melancarkan platform Pinjaman Wang Dalam Talian.

Pelanggan boleh memohon pinjaman melalui laman web redCASH di https://redcash.com.my atau memuat turun aplikasi redONE.

Sumber