Nilai ringgit susut berbanding dolar AS

Nilai ringgit susut berbanding dolar AS

RINGGIT menyusut nilai berbanding dolar AS pagi ini apabila sentimen menggalakkan terus menyokong mata wang AS.

Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa 4.6875/6915

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pasaran percaya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih akan menaikkan kadar faedah.

Menurut beliau, data Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS adalah rendah sedikit pada 103.0 berbanding unjuran 105.5, begitu juga data Jualan Rumah Baharu untuk Ogos yang rendah daripada jangkaan pada 675,000 berbanding unjuran 700,000.

“Walaupun bacaan lebih rendah daripada jangkaan agak negatif untuk dolar AS tetapi memandangkan perbezaannya kecil, pasaran kekal menggalakkan daripada hari sebelumnya,” katanya dalam nota pada Rabu.

“Pergerakan naik boleh berlaku sekiranya gandingan dolar AS/ringgit berjaya menembusi melebihi 4.6970 dalam beberapa hari akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding euro pada 4.9694/9742 daripada penutupan Selasa iaitu 4.9673/9716, susut berbanding pound Britain pada 5.7147/7202 daripada 5.7117/7166 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.1573/1605 daripada 3.1489/1518 semalam.

Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit juga diniagakan rendah.

Nilai ringgit menyusut berbanding baht Thai kepada 12.9038/9211 daripada 12.8884/9043 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 303.6/304.1 daripada 302.5/303.0 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut menguncup berbanding peso Filipina pada 8.25/8.27 daripada 8.23/8.24 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4353/4391 daripada 3.4275/4310 sebelumnya. – Bernama.

Sumber