Pudgy Penguins kini tembusi pasaran Malaysia

Pudgy Penguins kini tembusi pasaran Malaysia

Luca Netz (dua dari kanan) memperkenalkan token penghargaan kepada Ketua Pelaburan Digital Domestik MDEC, Danesh Jothiprahasam (dua dari kiri) bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan Asia Huddle PT, Raymond Sim (kiri) serta Ketua Pembangunan Perniagaan (Asia) Pudgy Penguins, Cheryl Law (kanan).

Luca Netz (dua dari kanan) memperkenalkan token penghargaan kepada Ketua Pelaburan Digital Domestik MDEC, Danesh Jothiprahasam (dua dari kiri) bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan Asia Huddle PT, Raymond Sim (kiri) serta Ketua Pembangunan Perniagaan (Asia) Pudgy Penguins, Cheryl Law (kanan).

JENAMA rintis dalam barangan koleksi digital dan anak patung, Pudgy Penguins kini menembusi pasaran Malaysia dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Asia Huddle PLT.

Ketua Pembangunan Perniagaan (Asia) Pudgy Penguins, Cheryl Law berkata, komitmen jenama itu bertujuan menggalakkan penggunaan harta intelektual dan meningkatkan penglibatan pengguna bagi memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini.

Menurutnya, berikutan kejayaan di Amerika Syarikat (AS), Pudgy Penguins kini adalah usaha transformatif yang menggabungkan inovasi rantaian blok dengan peluang perniagaan ketara dan membawa gelombang baharu serta peluang ekonomi kepada landskap perniagaan Malaysia.

“Pertama kali dilancarkan pada Julai 2021, kejayaan koleksi penguin yang diilhamkan oleh token tidak sepiawai atau non-fungible token (NFT) di pasaran AS membawa kepada lonjakan ke dalam dunia produk fizikal dengan Pudgy Toys.

“Pudgy Toys berjaya dengan penampilan sulungnya di Amazon, mencapai kutipan AS$500,000 yang menakjubkan pada carta jualan mainan dalam tempoh 48 jam, mengatasi industri besar seperti Lego, Pokemon, Transformers dan Barbie pada Mei 2023.

“Pudgy Penguins mewakili semangat kekitaan dan penerimaan dengan adanya kemungkinan kreatif tanpa had untuk perniagaan tempatan seperti dalam kempen pemasaran atau peluang dagangan misalnya buku mewarna, poster atau iklan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pudgy Penguins, Luca Netz berkata, pihaknya percaya bahawa inovasi mainan lembut dan patung berkualiti tinggi adalah pendekatan yang ideal untuk membawa Pudgy Penguins ke dalam dunia sebenar.

“Mendapat inspirasi daripada kejayaan dalam perniagaan mainan Gel Blaster, misi kami bukan sahaja untuk membawa kegembiraan, tetapi juga menyumbang kepada landskap ekonomi Malaysia yang meriah melalui keterangkuman dan seni.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan daripada MDEC dan Asia Huddle PLT,” ujarnya.

Pudgy Toys kini boleh didapati melalui peruncit di seluruh Malaysia termasuk FamilyMart, myNEWS, Bila Bila Mart, emart24, dan CU Malaysia.

Setiap pembelian mainan disertai dengan pengalaman digital dengan melayari laman web PudgyWorld.com yang mana pengguna berpeluang memiliki koleksi digital tanpa sebarang kos tambahan.

Sumber