Bursa Malaysia dibuka tinggi, minat belian muncul kembali

Bursa Malaysia dibuka tinggi, minat belian muncul kembali

DAGANGAN di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis apabila aktiviti belian muncul dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadarnya, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.43 mata kepada 1,452.99 daripada 1,451.56 penutup Rabu.

Indeks utama memulakan dagangan pada paras 1,452.77, menambah 1.21 mata.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mendahului untung 161 berbalas 136, manakala 251 kaunter tidak berubah, 1,826 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan 145.91 juta unit bernilai RM63.49 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Wall Street mengalami sesi yang sukar sebelum ditutup lemah apabila Rizab Persekutuan menangguhkan seketika kenaikan kadar faedahnya.

Namun begitu, Rizab Persekutuan telah memberi bayangan terdapat satu lagi kenaikan kadar sebelum akhir tahun, kata Thong kepada Bernama.

“Di dalam negara, FBM KLCI merosot kepada hampir paras 1,450. Justeru, kami menjangkakan indeks akan berlegar antara julat 1,450-1,460 hari ini,” katanya.

Beliau turut mengunjurkan sokongan pada saham perbankan hari ini berikutan penjualan sederhana sejak beberapa hari lepas.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB tidak berubah, masing-masing pada RM8.86 dan RM10.12, Public Bank dan CIMB menambah dua sen setiap satu kepada RM4.21 dan RM5.64, manakala Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM7.28.

Bagi saham aktif, Hextar Industries naik satu sen kepada 41.5 sen, Top Glove Corp dan Careplus Group meningkat 1.5 sen, masing-masing mencatatkan 84.5 sen dan 30 sen, Supermax Corp peroleh tiga sen kepada 88.5 sen dan Tanco susut setengah sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 11.45 mata kepada 10,766.49, Indeks FBMT 100 meningkat 11.89 mata kepada 10,432.44, Indeks FBM Emas Syariah meraih 4.24 mata kepada 11,022.70, dan Indeks FBM 70 menambah 23.29 mata kepada 14,369.57.

Sementara itu, Indeks FBM ACE susut 21.65 mata kepada 5,182.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 21.09 mata kepada 16,239.48, Indeks Perladangan mengembang 4.44 mata kepada 6,983.15, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.13 mata menjadi 174.28, dan Indeks Tenaga turun 0.80 mata kepada 903.33. – Bernama

Sumber