PROTON Holdings Bhd meneruskan permulaannya yang cemerlang pada 2019, apabila mendaftarkan 5,283 unit kereta untuk Februari 2019.
Ini mewakili kira-kira 12.7 peratus penguasaan pasaran, meningkat lebih 3.0 peratus berbanding bulan yang sama pada 2018.
Proton dalam kenyataan hari ini berkata, secara keseluruhannya pertumbuhan jualan adalah lebih tinggi daripada semua saingannya, berdasarkan peningkatan jualan sebanyak 37 peratus tahun ke tahun.
Ia juga mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 42 peratus bagi dua bulan pertama berbanding tempoh yang sama pada 2018, katanya.
“Pendaftaran untuk Proton X70 terus meningkat setiap bulan. dengan 2,823 unit didaftarkan pada Februari, termasuk 1,000 unit yang diserahkan kepada pelanggan pada hari yang sama di seluruh negara sebelum Tahun Baharu Cina.
“Pada akhir Februari, lebih 20,000 tempahan diterima untuk SUV pertama Proton, melebihi jangkaan awal yang mengesahkan kedudukan syarikat itu sebagai pemimpin segmen walaupun baharu memasuki pasaran,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, Proton X70 sedang membangunkan asas peminatnya dan menarik sokongan kukuh daripada pembeli SUV Malaysia.
“Proton bangga mencatat rekod baharu untuk pendaftaran SUV dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya. Angka ini luar biasa kerana ia dicapai walaupun terdapat dua cuti perayaan yang panjang (Tahun Baru Krismas dan Tahun Bahru Cina), merangkumi hanya 78 hari secara keseluruhan.
“Sasaran kami seterusnya adalah untuk jumlah pendaftaran enam bulan dan setahun penuh yang kami yakini dapat dicapai,” katanya. – Bernama