Program Santuni MADANI Beri Impak Positif kepada Komuniti Warga Emas Selangor

Program Santuni MADANI

Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), dengan sokongan kerjasama Hospital ReGen Rehab, baru-baru ini telah berjaya menganjurkan program “Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI)” yang diadakan di Pusat Aktiviti Warga Emas, Sabak Bernam, Selangor.

Program ini bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti hidup warga emas dengan memberi fokus kepada kesejahteraan fizikal, mental, dan sosial mereka. Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan antara komuniti dan pemimpin tempatan, seterusnya meningkatkan semangat gotong-royong dalam usaha menangani isu-isu kesejahteraan warga emas serta memastikan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya.

Program ini dimulakan dengan sesi pemeriksaan kesihatan yang menyasarkan lebih 40 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. Aktiviti ini melibatkan saringan kesihatan untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh warga emas, seperti dementia dan keletihan fizikal. Selain rawatan perubatan, para peserta turut diberikan maklumat penting berkaitan penjagaan kesihatan yang dapat membantu mereka menguruskan kesihatan mereka lebih baik, menjadikan mereka lebih berdaya saing untuk terus menjalani kehidupan yang aktif dan sihat.

Tan Mei Phing, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, mengulas, “Program Santuni MADANI adalah inisiatif yang sangat penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan warga emas. Kami ingin memastikan agar warga emas di Malaysia mendapat pemeriksaan kesihatan yang mereka perlukan dan dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperbaiki kualiti hidup mereka. Dengan kerjasama dengan Hospital ReGen Rehab dan pelbagai pihak, kami berharap dapat memberikan impak positif yang berterusan.”

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan kesihatan, sesi penglibatan komuniti diadakan untuk memberi ruang kepada pemimpin setempat dan warga untuk berbincang mengenai isu-isu yang mereka hadapi. Perbincangan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sosial dan perubatan dalam komuniti mereka. Ini sekaligus memperkukuhkan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat dalam usaha mencari penyelesaian yang lebih holistik bagi masalah yang timbul.

Profesor Datin Dr. Lydia Abdul Latif, Pakar Perubatan Rehabilitasi dan Ketua Pegawai Perubatan di Hospital ReGen Rehab, menyatakan bahawa “program ini bukan sahaja memberikan pemeriksaan kesihatan kepada warga emas, tetapi juga membantu mereka memahami kepentingan pemeliharaan kesihatan mereka secara berterusan. Saringan awal sangat penting dalam mendiagnosis masalah kesihatan seperti dementia dan lemah fizikal, yang boleh dikendalikan dengan lebih baik melalui intervensi awal. Program ini juga memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama mencari cara-cara baru untuk meningkatkan taraf hidup mereka.”

Program Santuni MADANI bukan sahaja memberikan manfaat kepada warga emas di kawasan tersebut tetapi juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), terutamanya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 10: Pengurangan Ketidaksamaan, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Melalui usaha ini, MyCEB dan Hospital ReGen Rehab berusaha untuk mewujudkan sebuah komuniti yang lebih inklusif, di mana warga emas diberikan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan dan peluang untuk terus aktif dan berdaya saing dalam masyarakat.