Prestasi perdagangan Malaysia terus berkembang positif

Prestasi perdagangan Malaysia terus berkembang positif

Tengku Zafrul - Foto Bernama

Tengku Zafrul – Foto Bernama

PRESTASI perdagangan Malaysia terus berkembang positif, dipacu oleh pelbagai pelaburan termasuk pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi baik itu manfaat diperoleh daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta hasil pelbagai jenis perjanjian iaitu perjanjian pelbagai hala, perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Lebih kurang 18 FTA yang telah tandatangani setakat ini. Kita dapat lihat bahawa perdagangan Malaysia terus meningkat.

“Melalui perjanjian perdagangan ini, ia membantu pengeksport kita untuk mendapat akses eksport ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Australian Network Leaders’ Summit 2023.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul mendedahkan bahawa sejak beliau menjadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sebanyak RM230 bilion (AS$49 bilion) diperoleh menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan Malaysia dari empat negara setakat ini.

Empat negara itu ialah Singapura (RM13 bilion), Korea Selatan (RM24 bilion), China (RM170 bilion) dan Jepun (RM23 bilion).

“Ini adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia, yang membantu penggubal dasar seperti saya dan rakan sekerja saya membuka banyak peluang untuk korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat Malaysia merentasi pelbagai sektor,” katanya.

Beliau turut berkongsi pelaburan yang diluluskan Malaysia pada suku pertama tahun ini telah menyaksikan peningkatan yang luar biasa iaitu peningkatan 60 peratus tahun ke tahun kepada RM71.4 bilion.

Angka itu merangkumi lebih 1,200 projek, ia dijangka mewujudkan 24,000 peluang pekerjaan baharu, kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, isu yang perlu ditangani oleh kerajaan ketika ini adalah persepsi untuk kerajaan mempercepatkan proses kelulusan perdagangan.

“Pihak kementerian bersama-sama dengan agensi berkaitan akan menumpukan lebih perhatian kepada proses untuk mempercepatkan kelulusan yang diperlukan oleh pelabur domestik dan pelabur antarabangasa,” katanya. – Bernama

Sumber