Perkenal skim biaya, sewa rumah, tangani kos sara hidup tinggi – Pakar

Perkenal skim biaya, sewa rumah, tangani kos sara hidup tinggi – Pakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkenalkan skim pembiayaan atau gadai janji fleksibel bagi pembeli rumah pertama dalam Belanjawan 2024 yang dapat menangani kos sara hidup tinggi, kata firma penasihat kewangan FA Advisory Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Zeng berkata, skim terbabit juga dapat membantu dari segi menawarkan kadar faedah rendah bagi tempoh masa tertentu.

“Mungkin untuk lima tahun pertama misalnya, kadar faaedah itu boleh dikurangkan kepada minimum satu peratus atau sebagainya. Ini dapat membantu dari segi memberi pulangan tunai untuk mereka yang membayar kemudahan gadai janji tersebut.

“Langkah ini juga dapat menjadi antara kaedah bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat,” katanya pada sesi taklimat media mengenai harapan Belanjawan 2024 oleh Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia di sini, pada Rabu.

Bryan turut mencadangkan agar pihak bank memperuntukkan jumlah kewangan yang berpatutan khusus bagi pembeli rumah pertama selain memperkenalkan skim sewaan bagi mengurangkan bebanan komitmen rakyat.

Atas alasan itu, beliau berkata, kajian kebolehlaksanaan boleh dijalankan untuk mengenal pasti kadar sewa berpatutan bagi golongan kumpulan isi rumah 40 peratus berpendapatan terendah (B40) dan 40 peratus berpendapatan pertengahan (M40) yang dibandingkan dengan kadar pasaran.

Menurutnya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memulakan skim “jaminan sewa” dalam kalangan pemaju untuk menyewakan unit kosong dengan membayar jumlah perbezaan sewa minimum serta angka yang mampu dibayar penyewa selain memberi jaminan pinjaman kepada pemaju atau pemilik unit kosong baharu.

“Ini membabitkan usaha kerajaan memberi jaminan ke atas pinjaman pemaju perumahan mampu milik pada margin rendah dan seterusnya membolehkan pelaksanaan pembinaan (unit mampu milik ini),” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu ketakpadanan harga dan kemampuan yang meruncing, termasuk menyumbang kepada lambakan kediaman dalam industri dengan projek pembinaan baharu mengatasi keperluan serta permintaan di lokasi tertentu.

“Kita tidak boleh hanya melihat kepada aspek harga semata-mata tetapi turut membuat pertimbangan secara menyeluruh.

“Apakah prospek lokasi ini (dari segi tempat tinggal)? Adakah perancangan pengangkutan awamnya teratur dan mempunyai akses ke kawasan ekonomi serta lokasi itu menarik untuk didiami? Inilah antara perkara yang perlukan penyelidikan, perancangan serta pelaksanaan (secara terperinci),” katanya.

Sementara itu, firma penasihat kewangan UNO Advisers Sdn Bhd pula menjangkakan kerajaan akan bertindak mengurangkan cukai dalam Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan pada 13 Oktober ini, bagi membantu rakyat menangani inflasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ian Wong berkata, kerajaan berkemungkinan mengurangkan cukai bagi mereka dalam kumpulan berpendapatan RM50,000 hingga RM100,000. – Bernama

Sumber