Hasil perbendaharaan AS naik, ringgit ditutup rendah cecah 4.70

Hasil perbendaharaan AS naik, ringgit ditutup rendah cecah 4.70

Ringgit terus susut dan mencecah paras 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu, berikutan kebimbangan mengenai prospek kenaikan kadar faedah serta kenaikan hasil perbendaharaan negara maju itu. - Gambar hiasan

Ringgit terus susut dan mencecah paras 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu, berikutan kebimbangan mengenai prospek kenaikan kadar faedah serta kenaikan hasil perbendaharaan negara maju itu. – Gambar hiasan

RINGGIT terus susut dan mencecah paras 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu, berikutan kebimbangan mengenai prospek kenaikan kadar faedah serta kenaikan hasil Perbendaharaan negara maju itu, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7055/7105 berbanding dolar AS daripada 4.6875/6915 pada akhir urus niaga semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pergerakan ringgit turut diasak oleh kebimbangan yang terus ketara mengenai inflasi di negara itu.

“Sudah pasti inflasi menjadi tumpuan selain peningkatan harga minyak yang hanya menjejaskan lagi pospek dasar Rizab Persekutuan AS (Fed),” katanya kepada Bernama.

Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mencecah paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun semalam namun susut lima mata asas hari ini kepada 4.501 peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan nilai ringgit itu juga disebabkan oleh kebimbangan berkaitan kemungkinan penutupan kerajaan AS.

“Faktor itu menjadi fokus, apalagi ketika menghampiri tarikh akhir pada hujung minggu. Sebarang sentimen menolak risiko ternyata menguasai ringgit pada masa ini,” katanya yang mengunjurkan paras rintangan terhadap ringgit adalah pada RM4.74.

Mohd Afzanizam menjelaskan, Kongres AS sepatutnya sepakat meluluskan peruntukan berkaitan pembiayaan Kerajaan Persekutuan menjelang akhir bulan ini dengan sebarang kemungkinan sebaliknya boleh menyebabkan penutupan kerajaan itu.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu rendah berbanding euro pada 4.9690/9743 daripada 4.9673/9716, susut berbanding pound Britain pada 5.7167/7228 daripada 5.7117/7166 dan rendah berbanding yen Jepun pada 3.1534/1570 daripada 3.1489/1518.

Ringgit juga rendah berbanding mata wang Asia kecuali baht Thailand yang menyaksikannya meningkat kepada 12.8759/8949 daripada 12.8884/9043, semalam.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.1/303.6 daripada 302.5/303.0 sebelum ini, rendah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.28 daripada 8.23/8.24 serta turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4334/4373 daripada 3.4275/4310, sebelum ini. – Bernama

Sumber