PATAMI Celcom meningkat kepada RM542 juta

PATAMI Celcom meningkat kepada RM542 juta

KEUNTUNGAN selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Celcom Axiata Bhd meningkat lebih 100 peratus pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 kepada RM542 juta.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Celcom turut menokok 13.0 peratus kepada RM1.51 bilion pada separuh pertama tahun ini berikutan hasil lebih tinggi dan kos yang telah ditambah baik, disokong oleh inisiatif transformasi dan penjimatan kos.

Hasil (tidak termasuk peranti Celcom) meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM3.03 bilion, didorong oleh pertumbuhan hasil prabayar dan pascabayar yang positif dengan tambahan pelanggan prabayar sebanyak 135,000 tahun ke tahun berjumlah 2.2 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, prestasi kukuh Celcom merupakan hasil daripada fokus Transformasi Kecemerlangan Operasi syarikat bagi memenuhi permintaan pasaran dengan memberikan perkhidmatan menarik serta berpatutan sambil mengekalkan kos pengurusan operasi.

“Pelaburan rangkaian kami yang berterusan serta dipertingkatkan adalah bagi menangani pertumbuhan trafik data yang pesat dan memberikan prestasi rangkaian yang konsisten dan liputan terluas kepada pelanggan, menyebabkan pengurangan ketara bagi aduan serta pertumbuhan dari segi keuntungan dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pertumbuhan hasil dan pelanggan yang menggalakkan, Idham berkata, Celcom merancang untuk melabur semula kepada pemodenan rangkaiannya yang berterusan bagi memastikan rangkaian tersebut menjangkau kesemua lapisan masyarakat termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Celcom juga akan kekal memberi tumpuan untuk memberi nilai melalui produk mampu milik serta perkhidmatan berinovasi, termasuk mengukuhkan portfolio perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada perusahaan dan perkhidmatan konvergennya, katanya.

“Kami akan terus menjadi penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai pelanggan dan ekosistem kami,” kata Idham.

Hasil pascabayar Celcom meningkat 4.6 peratus dengan 143,000 pelanggan baharu tahun ke tahun, yang didorong pakej keluarga dan konvergen serta trafik perayauan yang kembali semula.

Sementara itu, syarikat telah melabur lebih RM1 bilion sejak 18 bulan lepas untuk memenuhi pertumbuhan pelanggan dan permintaan yang meningkat ke atas perkhidmatan kesalinghubungan data.

Katanya, pelaburan itu meliputi pembangunan lapisan 4G LTE baharu kepada kira-kira 9,000 tapak sedia ada dan tapak Rangkaian Akses Radio baharu termasuk kerja-kerja pengoptimuman dan menambah baik kapasiti rangkaian untuk meningkatkan perkhidmatan rangkaian 4G di seluruh negara.

Ia bagi menampung peningkatan trafik data sebanyak 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Celcom berkata, penggunaan data sebulan bagi setiap pengguna turut meningkat sebanyak 6.0 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2022 iaitu kepada 24.2GB sebulan bagi setiap pengguna untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat itu turut menambah baik seluruh liputan perkhidmatan dan pengalaman rangkaian, menyebabkan peningkatan 73 peratus bagi purata kelajuan muat turun dan mengurangkan aduan sebanyak 44 peratus setakat ini.

Selaras dengan program Jalinan Digital Negara (JENDELA), Celcom berkata, ia komited untuk terus membina dan membangunkan 570 tapak rangkaian 4G LTE baharu, menaik taraf lebih 700 tapak dengan teknologi LTE terkini dan meluaskan liputan rangkaian dengan membangunkan 670 LTE900 tapak jalur rendah.

Menyokong lebih 14 juta pengguna, liputan populasi 4G dan 4G LTE-A Celcom, masing-masing berada pada 96.21 peratus dan 90.20 peratus.

Momentum pasaran yang kukuh diteruskan pada separuh pertama tahun kewangan 2022 apabila Celcom meraih penambahan pelanggan sebanyak 278,000 pada sepanjang setahun. – Bernama

Sumber