Johor bakal terima pelaburan dari AS, UK, Jepun, Korea Selatan

Johor bakal terima pelaburan dari AS, UK, Jepun, Korea Selatan

JOHOR bakal menerima pelaburan antarabangsa baharu dari pelbagai negara bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han memberitahu, antara negara terbabit ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun dan Korea Selatan.

“Kita sedang berbincang dengan pelbagai negara seperti AS dan UK untuk sektor peranti perubatan dan (pembinaan) pusat data selain Korea Selatan dan Jepun untuk sektor kimia dan petrokimia.

“Kita tengah usahakan dan anggaran pelaburan tidak dapat dijangka jumlahnya sebab apabila mereka buat final investment decision (FID) baharu mereka akan maklumkan (jumlah pelaburan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru pada Isnin.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Lukman Abu Bakar; Pengarah Urusan Billion Prima Sdn Bhd, Goh Chu Leong; Penasihat Pembangunan Perniagaan Krohne (M) Sdn Bhd, Abdul Latib Hassan dan Pengarah Eksekutif Prolexus Berhad, Tan Eik Huang.

Ting Han berkata, pihak pelabur mahukan pelaburan kondusif dengan semua proses pendaftaran dan lesen diperoleh dengan cepat serta lancar termasuk mahu mengetahui tawaran yang boleh diberikan kerajaan negeri kepada mereka.

Katanya, mereka juga mahu tahu kemudahan di negeri ini dan apabila semua yang diperlukan itu mampu dipenuhi, mereka akan membuat keputusan berkenaan jumlah pelaburan yang bersesuaian.

Mengenai prestasi Johor yang mencatat pelaburan tertinggi dalam negara iaitu RM60.9 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, beliau berkata, China adalah paling tinggi menyumbang.

Menurutnya, negara itu menyumbang 60 peratus dengan jumlah pelaburan RM40 bilion diikuti Singapura berjumlah RM4 bilion iaitu dalam sektor peranti perubatan dan petrokimia.

“Ini diikuti Korea Selatan sebagai negara ketiga terbesar melabur iaitu dalam sektor petrokimia dan pemprosesan makanan,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Johor mencatatkan jumlah pelaburan RM60.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 822 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM6.6 bilion.

Antara syarikat yang memilih Johor sebagai destinasi pelaburan mereka pada tahun ini ialah SPC Group (Korea Selatan), GDS Holdings Ltd (China), Insulet Corporation (Amerika Syarikat) dan Wiwynn Corporation (Taiwan).

Sumber