Pacu peningkatan ekonomi

Pacu peningkatan ekonomi

SHAH ALAM – Pusat Borong GM Klang (GM Klang) optimis tindakan kerajaan membenarkan pelbagai industri beroperasi semula selepas hampir dua tahun terkesan pandemik Covid-19 akan memacu peningkatan ekonomi negara pada tahun 2022.

Pengurus Komunikasi Jenama Pusat Borong GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, GM Klang menjangkakan peningkatan sektor ekonomi lebih positif untuk tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan kuasa beli pengguna dan bilangan usahawan yang semakin meningkat.

Menurutnya, keadaan itu turut mendorong kepada permintaan sewaan ruang perniagaan yang lebih tinggi di GM Klang berbanding tahun sebelumnya.

“GM Klang sentiasa memastikan momentum transaksi perniagaan dalam keadaan stabil. Usaha ini dilaksanakan melalui perbelanjaan pengiklanan dan promosi yang dipertingkatkan lagi bagi mengukuhkan aktiviti penjenamaan GM Klang.

“Bas-bas rombongan kembali meningkat walaupun dengan kadar yang sederhana tetapi mampu menampakkan kerancakkan jumlah pengunjung yang bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norsuhaida berkata, GM Klang juga mendapat banyak pertanyaan positif daripada peniaga-peniaga luar mengenai ruang perniagaan di pusat borong itu sekali gus menunjukkan jenama GM Klang masih mendapat kepercayaan untuk mereka meluaskan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat borong terbesar di Malaysia itu menyasarkan permintaan ruang sewaan perniagaan akan meningkat lebih 30 peratus tahun ini berbanding sebelumnya.

“Penawaran platform perniagaan yang komprehensif dengan pelbagai pilihan ruang komersial yang sedia untuk disewa, kemudahan fasiliti dan jumlah pengunjung yang mencecah anggaran 20,000 orang sehari, pastinya manfaat perniagaan yang efektif untuk para usahawan memulakan ataupun meluaskan perniagaan mereka di GM Klang.

“GM Klang juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memvariasikan penawaran bukan saja produk tempatan malah antarabangsa.

“Antaranya dengan pembukaan beberapa pameran produk yang berskala besar, yang bukan sahaja menawarkan pelbagai produk berpotensi untuk diniagakan, malah ianya juga turut berperanan sebagai sebuah platform yang memudahkan usahawan untuk melakukan transaksi perniagaan tanpa perlu lagi terbang ke luar negara,” katanya.

Sumber