MY Gaya Month 2023 promosi barangan Malaysia

MY Gaya Month 2023 promosi barangan Malaysia

SHAH ALAM – Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) melancarkan kempen MY Gaya Month 2023 untuk mengetengahkan dan mempromosi barangan Malaysia menerusi produk fesyen, gaya hidup dan teknologi.

Ia sekali gus melahirkan usahawan baharu sambil melatih graduan fesyen dari akademi-akademi tempatan dalam industri fesyen.

Kempen yang akan berlangsung selama sebulan bermula 24 Ogos hingga 25 September 2023 bddilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 anjuran KPDN, di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

MBDA dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu menampilkan 31 pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan bersama koleksi-koleksi dan produk terbaharu mereka yang direka serta dihasilkan khas bagi kempen itu bertemakan fabrik berelemen warisan.

Azman (dua dari kanan) bersama Rasta (tiga dari kanan) dan Bon Zainal (empat dari kanan) meluangkan masa melawat pempamer di MY Gaya Month 2023.

Azman (dua dari kanan) bersama Rasta (tiga dari kanan) dan Bon Zainal (empat dari kanan) meluangkan masa melawat pempamer di MY Gaya Month 2023.

“Acara selama sebulan ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan di Malaysia, memberikan peluang kepada masyarakat dan pengunjung dari luar negara untuk menghayati kecantikan dan keindahan yang lahir daripada industri fesyen dan gaya hidup tempatan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sempena kempen tersebut, turut diadakan empat forum yang menampilkan pakar- pakar, ilmuwan dan penggiat industri.

“Antara ahli panel yang terlibat ialah jenama Lewre, Datuk Lewre Lew; Three Little Ahmads, Azrene Ahmad; Variante, Leslie Variyan dan FiziWoo, Izree Kai Hafiz.

“Barisan pereka, usahawan dan akademi yang akan memperagakan jenama mereka sempena MY Gaya Month 2023 ialah Ghadeez, Batek by Rasta Rashid, Bon Zainal, Kolej Vokasional ERT Setapak, UCSI University, Universiti Teknologi MARA dan UNITAR International University,” katanya.

Azman (enam dari kiri) bersama sebahagian peserta terlibat dalam menjayakan MY Gaya Month 2023 yang diadakan di Farenheit88, Kuala Lumpur bermula 24 Ogos hingga 25 September 2023.

Azman (enam dari kiri) bersama sebahagian peserta terlibat dalam menjayakan MY Gaya Month 2023 yang diadakan di Farenheit88, Kuala Lumpur bermula 24 Ogos hingga 25 September 2023.

Sementara itu, Azman berkata, penganjuran My Gaya Month untuk tahun ketiga itu merupakan salah satu inisiatif strategik KBBM menggangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk Barangan Malaysia.

“KBBM dilaksanakan bagi mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

“KBBM juga merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan. Ia juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka,” kata Azman.

MY Gaya Month 2023 akan melabuhkan tirainya dengan pertunjukkan fesyen pada 10 September 2023 di Farenheit88, Kuala Lumpur yang akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen dan platform seperti Facebook, Youtube dan Instagram.

Setiap pereka turut menampilkan koleksi mereka dalam platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Zalora dan juga laman web pereka itu sendiri.

Koleksi dan produk-produk ini boleh dibeli di Farenheit88 sepanjang bulan ini dan juga di platform tersebut dengan harga antara RM15 sehingga RM1500.

MBDA menyasarkan penjualan produk berjumlah RM1 juta sepanjang bulan kempen MY Gaya Month 2023.

Terdapat pelbagai promosi seperti Merdeka Day Sale dan Malaysia Day Special untuk pelanggan mengunjung dan membeli produk di Farenheit88.

Sumber