Maxis ceriakan golongan B40, pelajar, OKU sempena Hari Raya Aidilfitri

Maxis ceriakan golongan B40, pelajar, OKU sempena Hari Raya Aidilfitri

SHAH ALAM – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Maxis melancarkan beberapa inisiatif bagi membawa keriangan kepada keluarga B40, pelajar dan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, ini kerana musim perayaan adalah waktu istimewa bagi mereka membantu pelbagai golongan ‘rangkaian Malaysia’ di seluruh negara.

“Program kemasyarakatan kami membawa kesan yang mendalam terhadap kehidupan orang ramai yang mana kami berkhidmat dan kami berharap sumbangan tersebut akan membawa impak positif kepada komuniti serta memperkasa mereka melalui pendigitalan mengikut keperluan mereka yang unik dan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Maxis turut mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan sesi khas program eKelas Usahawan untuk golongan OKU dengan kerjasama Persatuan OKU Sentral.

Menyentuh mengenai perkara tersebut, Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi menyifatkan golongan OKU mempunyai bakat yang berbeza dan mereka sering menjadi pengguna awal teknologi bagi melakukan lebih banyak perkara.

“Ia amat menginspirasikan untuk lihat bagaimana kita boleh memperkasakan mereka bagi mengembangkan peluang pendapatan dan mencapai kemungkinan baharu dengan alatan yang betul.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Maxis untuk membawa impak positif kepada komuniti dan juga memastikan mereka tidak ketinggalan,” ujarnya.

Pelajar daripada komuniti B40 bergambar bersama bantuan peralatan yang diberikan oleh Maxis.

Pelajar daripada komuniti B40 bergambar bersama bantuan peralatan yang diberikan oleh Maxis.

Tambah syarikat itu, eKelas Usahawan Maxis merangkumi bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan peserta dengan alat dan kemahiran digital yang mampu mengembangkan perniagaan dan pendapatan mereka.

Jelasnya, antara modul yang telah dikembangkan termasuklah petua dan kemahiran asas pemasaran dan fotografi digital, penulisan salinan serta perancangan kempen pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial.

Dalam pada itu, Maxis turut menyatakan bahawa lebih 150 kotak makanan telah diedarkan kepada keluarga B40 di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan yang terjejas akibat banjir.

“Untuk menyokong perniagaan mikro pula, kotak makanan tersebut diisi dengan pelbagai biskut raya yang dijual oleh usahawan wanita dari komuniti yang sama dengan bantuan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kampung Repek, Kelantan,” katanya.

Selain itu, Maxis berkata, pelajar daripada komuniti B40 juga telah menerima bantuan peralatan sekolah dan seramai 50 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, Pahang menerima sumbangan tersebut beserta panduan untuk menyertai program eKelas Maxis.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber