68 jenama francais Malaysia tembusi pasaran Asia Tenggara

68 jenama francais Malaysia tembusi pasaran Asia Tenggara

JEDDAH – 68 jenama francais Malaysia bakal menembusi pasaran di 74 negara di Asia tenggara selepas pasca era Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rasol Wahid berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan pemain industri untuk mencapai sasaran dan menggerakkan semula momentum berkenaan.

“Pada 2021, industri francais di Malaysia mencatatkan jualanRM13 bilion, iaitu peningkatan 16.4 peratus berbanding 2018, dengan jumlah keseluruhan rekod jualan RM11.16 bilion.

“Misi perdagangan ini bertujuan untuk memperkenalkan jenama Malaysia ke pasaran Timur Tengah terutamanya Arab Saudi menerusi kerjasama pelabur asing melalui ‘business matching program’,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Franchise Malaysia Business Matching Program, Jeddah pada Ahad.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Jeddah bermula 7 hingga 9 Mei lalu berkata, misi perdagangan ini adalah sebahagian daripada Enhanced Franchise Development Programme (EFDP) yang diluluskan oleh Franchise Export Council (FRANEX) committee pada 2021.

Dalam pada itu juga, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke Lulu Hypermarket Marwah di Jeddah bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Lulu International Group dalam sektor peruncitan dan pada masa sama untuk meluaskan pasaran produk Malaysia ke pasaran Timur Tengah melalui Pasar Besar Lulu di Arab Saudi.

“Ini sememangnya pendekatan menang-menang di mana kami mengalukan pengusaha runcit dan pemborong asing untuk menjalankan perniagaan mereka di Malaysia dan pada masa yang sama membawa produk dan jenama Malaysia dalam operasi mereka,” katanya.

Turut serta dalam lawatan kerja berkenaan, Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama lima jenama Utama Malaysia iaitu CheeseU, CIC Where Leaders Are Born, Genius Aulad, US Pizza and Siti Khadijah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber