Malaysia kekal di tangga 36 dalam laporan GII 2023, skor meningkat

Malaysia kekal di tangga 36 dalam laporan GII 2023, skor meningkat

Malaysia berjaya melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator Graduates in Science and Engineering. - Gambar hiasan

Malaysia berjaya melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator Graduates in Science and Engineering. – Gambar hiasan

MALAYSIA mengekalkan kedudukan di tangga ke-36 daripada 132 negara dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023 dengan peningkatan skor keseluruhan 40.9 berbanding 38.7 pada tahun lepas.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan Malaysia juga menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 upper-middle income countries dengan kenaikan satu tangga berbanding 2022 dan bagi ASEAN, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

“Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi dua sub-indikator iaitu High-tech exports dan Creative goods export serta melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator Graduates in Science and Engineering.

“Secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan peningkatan bagi lima daripada tujuh tonggak berbanding 2022 iaitu institutions (29 berbanding 34); Human capital and research (32 berbanding 38); Market sophistications (18 berbanding 26); Business sophistications (36 berbanding 41) dan Knowledge and technology outputs (37 berbanding 39),” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOSTI memaklumkan peningkatan prestasi negara dalam GII yang dikeluarkan Badan Harta Intelek Dunia (WIPO) di Geneva, Switzerland, antara lain didorong oleh pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII, bawah kementerian itu melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan yang melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan.

Bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025 sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, MOSTI akan melaksanakan beberapa inisiatif.

Ia termasuk membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi berpotensi untuk dikomersialkan termasuk dihasilkan oleh pelajar sekolah; pengubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara; penyediaan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan dan mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurut kenyataan itu, MOSTI melihat prestasi Malaysia dalam GII bukan sekadar alat pengukur, tetapi panduan memberikan gambaran menyeluruh tentang keupayaan inovasi negara yang memberi tumpuan kepada faktor penting mendorong dan menyokong proses inovasi termasuk penyelidikan dan pembangunan; keusahawanan; infrastruktur teknologi dan pelbagai bidang yang memerlukan intervensi.

Menurut kenyataan itu, semua inisiatif berkenaan selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang 2030. – Bernama

Sumber