i-Rizq Plus sasar dana RM300 juta

i-Rizq Plus sasar dana RM300 juta

Mohd Irwan (tiga dari kanan) dan Mohammad Hanis (tiga kiri) bersama barisan pemenang cabutan bertuah bulanan bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

Mohd Irwan (tiga dari kanan) dan Mohammad Hanis (tiga kiri) bersama barisan pemenang cabutan bertuah bulanan bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

BANK Rakyat menyasarkan dana terkumpul sebanyak RM300 juta menerusi produk Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menjelang Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, sasaran itu mampu dicapai selepas pihaknya menaikkan jumlah hadiah keseluruhan daripada RM1 juta kepada RM5.8 juta.

“Selepas kita lancarkan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus pada Julai tahun lepas, dana terkumpul telah mencecah lebih RM100 juta.

“Kalau dalam tempoh itu boleh cecah jumlah tersebut, maka menjelang Disember 2024 kita anggarkan RM300 juta dapat dikumpul.

“Kita juga telah menaikkan jumlah hadiah cabutan untuk memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69 di sini pada Selasa.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Bank Rakyat menerima sebanyak 20,000 pelanggan baharu bagi akaun pelaburan berkenaan selepas jumlah hadiah dinaikkan kepada RM5.8 juta.

“Setakat Ogos lalu, kita ada lebih 20,000 pelanggan baharu. Walaupun jumlahnya banyak, peluang untuk menang cabutan sangat tinggi.

“Pelaburan-i Rizq Plus bukan sekadar deposit tetapi ia adalah produk pelaburan Bank Rakyat yang dilabur secara patuh syariah dan selamat,” jelasnya.

Sejak pelancaran Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, lebih 1,500 pemenang telah menerima hadiah tunai keseluruhan bernilai RM1 juta.

Menerusi struktur hadiah baharu bagi produk berkenaan, pelanggan turut berpeluang memenangi hadiah berupa emas selain peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berjumlah sehingga RM100,000 berdasarkan nilai saham.

Produk tersebut membolehkan pelanggan mewujudkan portfolio pelaburan berasingan sebagai simpanan sokongan dan saluran pendapatan alternatif yang tidak hanya bergantung pada caruman wajib skim persaraan sedia ada.

Sumber