LIMA GADIS MUZIKAL PERTARUHKAN DIRI UNTUK MENJADI PENYANYI TERKENAL

LIMA GADIS MUZIKAL PERTARUHKAN DIRI UNTUK MENJADI PENYANYI TERKENAL

Gadis Muzikal, drama bersiri 13 episod ini mengisahkan tentang perjuangan lima gadis yang mempunyai latar belakang berlainan, berjuang untuk mencapai impian mereka menjadi penyanyi terkenal! Siri drama kisah kumpulan yang bergelar ‘Angelz’ ini dibawakan khas oleh Maybelline dan akan ditayangkan di TV3 bermula 17 Ogos 2023, setiap hari  Khamis hingga Sabtu, pukul 9.00 malam, menerusi slot Lestary di samping strim secara HD di www.tonton.com.my.

Drama terbitan Zeel Production ini merupakan hasil karya Irwan Mansor dan diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Kyroll Hamzah. Ia dijangka mendapat sambutan kerana menampilkan barisan pelakon yang telah lama menempa nama dan juga yang baharu. Antaranya, Khodi, Fiza Thomas, Aisha Retno, Serene Claire, Tika Nasir, Hafreez Adam, Mark Adam, Rahmad Mega, Azza Elite, Ani Maiyuni, Nadia Kesuma, Halmey Hamdah, Izzrin Irfan, Zuhairi Ibrahim, Aqmal Ramdan, Fauziah Latiff dan Fauziah Ahmad Daud.

Kelima-lima mereka mempunyai latar belakang yang berbeza dan membuatkan drama bersiri ini menjadi lebih menarik untuk ditonton. Shikin (Khodi) merupakan seorang gadis kampung yang mempunyai impian tinggi untuk menjadi penyanyi terkenal. Setiap kali menyanyi, Ezad (Izzrin Irfan), yang merupakan rakan baiknya akan sentiasa merakam nyanyian Shikin dan muat naik ke dalam YouTube. Namun di setiap video hasilnya, Shikin terpaksa menutup wajahnya kerana ibu bapanya tidak merestui minatnya. Afia (Tika Nasir) pula merupakan rakan Shikin yang mempunyai perwatakan cantik dan ayu. Namun sikapnya yang ‘lurus bendul’ membuatkan dia sering dibuli oleh rakan di pejabatnya.

Sementara itu, Melly (Aisha Retno) pula merupakan seorang yang bijak dalam akademik dan mempunyai vokal yang sangat mengagumkan. Namun Melly tetap mempunyai halangan kerana paras rupanya yang unik. Sementara itu, Una (Fiza Thomas), seorang pekerja di kedai serbaneka merupakan seorang ibu tunggal dan bercita-cita untuk menjadi penyanyi rock terkenal untuk menyara anak dan makciknya. Lulu pula, (Serena Claire) adalah seorang yang tampak angkuh lagi bergaya seolah-olah seperti artis yang berpengalaman.

Pada suatu hari, Miss Jay (Fauziah Ahmad Daud) diarahkan oleh syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk mencari bintang muda bagi membentuk satu kumpulan bernama Angelz bertujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan kumpulan penyanyi wanita tanah air. Miss Jay ingin memastikan program realiti itu menjadi program yang hangat dan sensasi di televisyen.

Iklan uji bakat Angelz mula diuar-uarkan. Berlatarbelakangkan keluarga dan jalan hidup yang berbeza, Shikin, Aifa, Una, Lulu dan Melly tidak lepaskan peluang masing-masing untuk mencuba nasib dengan menyertai sesi uji bakat. Setelah dinilai oleh Miss Jay, mereka berlima telah terpilih untuk menyertai program realiti ini, lalu mereka berlima telah ditempatkan di satu rumah banglo. Demi memastikan program realiti itu mendapat rating yang tinggi, mereka berlima diberikan tugas dan misi yang berbeza setiap minggu. Berjayakah mereka melaksanakan tugasan masing-masing? Sejauh manakah semangat juang mereka demi mengejar impian yang terpendam?

Jangan ketinggalan untuk saksikan drama Gadis Muzikal menerusi slot Lestary, bakal bersiaran pada 17 Ogos 2023 setiap hari Khamis hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam atau strim dan catch-up secara eksklusif di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.