AEON BiG bekerjasama dengan FGV, pasarkan ayam kampung

AEON BiG bekerjasama dengan FGV, pasarkan ayam kampung

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) menjalinkan kerjasama dengan FGV Holdings Bhd (FGV) untuk memasarkan produk baharu iaitu ayam kampung Ladang’57.

Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kerjasama strategik berkenaan melibatkan anak syarikat, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) bersama Ladang’57 untuk memasarkan produk baharu tersebut ke-21 cawangan AEON BiG seluruh negara.

“AEON BiG mahu beri platform kepada syarikat tempatan dan peluang untuk pasarkan produk daripada penternak, pembekal hinggalah ke pasaran.

“Selain itu, kami turut berbangga dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir ke majlis pelancaran ayam kampung ini dan beratur seawal jam 9 pagi.

“Permintaan ayam kampung sentiasa ada dan ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih alternatif selain ayam biasa,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ayam Kampung di AEON BiG Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Raja Faridah Raja Ahmad; Pengerusi AEON Co, Datuk Iskandar Sarudin; Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian dan Ternakan Felda, Hasrin Ismail serta Ketua Peneroka Kebangsaan Felda merangkap Ketua Peneroka Wilayah Trolak, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Sebelum ini, AEON BiG pernah bekerjasama dengan FGV dalam membantu memasarkan produk berunsurkan tanaman seperti jagung, nanas dan pisang sebelum Covid-19 melanda negara.

Sementara itu, Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya berkata, buat masa ini, pihaknya memasarkan 1,000 ekor ayam kampung seminggu dan bakal meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya pada masa akan datang.

“Bekalan ayam kampung daripada Ladang’57 ini dihasilkan oleh peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

“FGV membeli semula ayam kampung ini daripada penternak dan memasarkannya di pasar raya AEON BiG.

“Ia bertujuan meningkatkan pendapatan peneroka Felda yang tidak hanya bergantung kepada tanaman sawit, tetapi ada pendapatan lain boleh dijana menerusi aktiviti dibangunkan bersama ahli keluarga masing-masing,” jelas beliau.

Abdul Razak memaklumkan, sambutan daripada warga peneroka menggalakkan dan merasa terjamin daripada aspek pemasaran menerusi inisiatif berkenaan.

“FGV juga memberi makanan ternakan (kepada peserta) kerana kami hasilkan sendiri daripada isirung kelapa sawit dan padi. Hasilnya (makanan ternakan) lebih murah sekitar lima ke 10 peratus,” ujarnya.

Sumber