Lapangan Timi SK318 capai pengeluaran gas pertama – Petronas

Lapangan Timi SK318 capai pengeluaran gas pertama – Petronas

Petronas umum lapangan Timi di Blok SK318, yang terletak kira-kira 200km di luar pantai Sarawak, mencapai pengeluaran gas pertamanya pada Selasa. - Foto Bernama

Petronas umum lapangan Timi di Blok SK318, yang terletak kira-kira 200km di luar pantai Sarawak, mencapai pengeluaran gas pertamanya pada Selasa. – Foto Bernama

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan lapangan Timi di Blok SK318, yang terletak kira-kira 200 kilometer di luar pantai Sarawak, mencapai pengeluaran gas pertamanya pada Selasa.

Block SK318 dikendalikan oleh Sarawak Shell Bhd dengan 75 peratus kepentingan penyertaan secara kerjasama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (15 peratus kepentingan penyertaan) dan Brunei Energy Exploration (10 peratus kepentingan penyertaan).

Syarikat minyak nasional itu berkata, pembangunan lapangan Timi terdiri daripada pelantar tetap kepala telaga yang dihubungkan ke hab pengeluaran F23 menerusi saluran paip sepanjang 80 kilometer.

“Dipasang di kedalaman air kira-kira 143 meter, ia merupakan platform tetap terdalam di Malaysia setakat ini.

“Kedua-dua bahagian atas dan substruktur dipasang siap di tempatan, direka bentuk tanpa pengendalian pekerja dan dikuasakan oleh sistem tenaga hibrid solar dan angin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib presiden kanan pengurusan petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, kumpulan itu gembira Shell dapat mengoptimumkan pembangunan Timi, yang mampu menghasilkan gas sehingga 300 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) menggunakan kurang daripada 5.0 kilowatt (kW) penjanaan kuasa berterusan.

Beliau berkata, kumpulan itu juga berbangga dengan kerjasamanya dengan kontraktor Blok SK318 dan penyedia perkhidmatan mereka, dan menegaskan bahawa pencapaian itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu kerajaan negeri Sarawak. – Bernama

Sumber