KRU Kembali Gegar Axiata Arena dengan KONSERT GENKRU 2025!

Selepas lebih tiga dekad mencipta revolusi dalam industri muzik Malaysia, kumpulan legenda KRU kini kembali dengan sebuah konsert mega bertaraf antarabangsa yang bakal mencipta sejarah hiburan tanah air. Diberi nama KONSERT GENKRU, konsert epik ini dijadualkan berlangsung pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Peminat setia sudah boleh mula mengumpul dana dan bersiap sedia menyaksikan trio ikonik — Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim — kembali beraksi di pentas mega!

Jika selama ini peminat hanya mampu menyanyikan lagu-lagu KRU di bilik karaoke atau kamar mandi, kini tiba masanya untuk mereka menyaksikan sendiri persembahan live penuh bertenaga dari trio legenda ini. Dengan laungan ikonik “Ke tepi… ke tepi… gergasi sudah kembali”, tiada ungkapan yang lebih sesuai untuk menggambarkan kehadiran semula KRU ke arena muzik tanah air.

Bermula dari tahun 1992, KRU telah mencipta fenomena luar biasa dengan memperkenalkan irama pop dan hip hop yang segar dan mendahului zamannya. Lagu-lagu seperti Mengerti, Apa Saja, Fanatik, Generasiku, Awas, Gadis Jelita, Terhangat Di Pasaran, Janji Tinggal Janji, Oh La La dan Di Dalam Dilema terus menjadi siulan dari generasi ke generasi. Meskipun sudah lebih 30 tahun berlalu, KRU kekal relevan dan masih berada di hati peminat.

Menurut Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang, usaha untuk membawa KRU kembali ke pentas besar telah dimulakan sejak 1 November 2022. Selepas hampir dua tahun perbincangan, akhirnya pada September 2024, KRU bersetuju menerima tawaran tersebut.

“Adalah satu penghormatan besar buat ICON ENTERTAINMENT mempersembahkan KONSERT GENKRU. Kredibiliti dan kejayaan KRU sejak tahun 90-an sememangnya tidak boleh disangkal. KRU telah membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini. Saya berjanji, jika anda terlepas konsert ini, anda akan menyesal seumur hidup kerana ini bukan sekadar konsert biasa. Ini adalah sejarah!” kata Iman Tang penuh semangat.

Bagi KRU, KONSERT GENKRU bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya ia adalah medan untuk memaparkan sejarah panjang perjalanan muzik mereka. Konsert ini bakal menjadi simbol kejayaan KRU dalam membina empayar muzik dan perniagaan mereka sejak awal 90-an hingga kini.

“KONSERT GENKRU akan membawa penonton menyelusuri transformasi KRU dari era 90-an hingga ke era moden. Ini adalah peluang untuk peminat merasai sendiri pengalaman unik yang jarang ditawarkan dalam mana-mana konsert,” ujar Norman KRU.

Trio ini turut mengakui bahawa peluang ini hadir pada masa yang tepat selepas kali terakhir mereka membuat konsert berskala besar di Istana Budaya pada Mei 2018 menerusi Konsert GenerasiKRU25. Kini, selepas lebih enam tahun, peminat setia akhirnya dapat melihat KRU kembali menghiasi pentas besar di Axiata Arena.

Untuk memastikan keunikan dan keterujaan peminat, sistem pembelian tiket turut diinspirasikan daripada judul-judul lagu popular KRU. Peminat boleh mendapatkan tiket bermula 20 Disember 2024, jam 11 pagi di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/kru. Harga tiket mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • OOH!LA!LA! – RM258
  • AWAS – RM358
  • MENGERTI – RM478
  • TERHANGAT DI PASARAN – RM508
  • APASAJA – RM548
  • FANATIK – RM588

Peminat diingatkan agar segera mendapatkan tiket, kerana setiap kategori dijangka habis dijual dalam masa singkat. “Awas”, jika anda “Fanatik” KRU, jangan sampai terlepas KONSERT GENKRU di Axiata Arena pada 3 Mei 2025.

Konsert ini bukan sekadar nostalgia. KRU berjanji untuk menghidangkan persembahan yang penuh elemen kejutan, visual memukau dan kesan bunyi bertaraf dunia. Menurut Edry KRU, mereka berusaha memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat dari aspek penceritaan konsert, senarai lagu, serta pengisian visual di skrin gergasi.

“Kami tidak mahu hanya membawa nostalgia lama ke pentas. Sebaliknya, kami mahu memaparkan revolusi muzik KRU dan bagaimana kami berkembang dari kumpulan hip hop ke empayar perniagaan, produksi filem, dan penghasilan muzik berskala besar,” kata Edry.

Konsert ini juga bakal memperlihatkan bagaimana KRU menggunakan teknologi moden dalam visual dan bunyi bagi memberikan pengalaman konsert terbaik kepada penonton. Dengan LED skrin besar, pencahayaan canggih, dan susunan muzik yang disusun semula secara eksklusif, peminat dijanjikan satu pengalaman yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

KONSERT GENKRU adalah satu penghormatan kepada legasi yang mereka bina sejak 1992. Sebagai peminat, ini adalah peluang anda untuk menjadi sebahagian daripada sejarah. Dapatkan tiket anda seawal mungkin dan bersiaplah untuk mengalami keajaiban KRU secara langsung di Axiata Arena pada 3 Mei 2025.

“Awas”, jika anda “Fanatik” KRU, jangan sampai terlepas KONSERT GENKRU. Jika tidak, anda akan kekal “Di Dalam Dilema” kerana terlepas persembahan paling epik dalam sejarah hiburan Malaysia!”

INFORMASI

ARTIS: KRU

ACARA: KONSERT GENKRU

LOKASI: AXIATA ARENA

TARIKH: 3 MEI 2025

MASA: 8.30 MALAM

PENGANJUR: ICON ENTERTAINMENT

HARGA TIKET:

  • OOH!LA!LA! (RM258),
  • AWAS(RM358),
  • MENGERTI (478),
  • TERHANGAT DI PASARAN (RM508),
  • APASAJA(RM548)
  • FANATIK (RM588)

PEMBELIAN TIKET: WWW.TICKET2U.COM.MY