Khazanah lancar laporan ‘Menggerakkan Pelaburan untuk Tenaga Bersih di Malaysia’

Khazanah lancar laporan ‘Menggerakkan Pelaburan untuk Tenaga Bersih di Malaysia’

KHAZANAH Nasional Berhad (Khazanah) dan Khazanah Research Institute (KRI) dengan kerjasama World Economic Forum melancarkan laporan komuniti bertajuk ‘Menggerakkan Pelaburan untuk Tenaga Bersih di Malaysia’.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, laporan itu membentangkan penemuan utama dan cadangan untuk penambahbaikan persekitaran kawal selia dan dasar bagi memudahkan pelaburan tenaga bersih.

Menurutnya, laporan Komuniti itu adalah sebahagian daripada inisiatif World Economic Forum untuk menggerakkan pelaburan tenaga bersih dalam ekonomi baru muncul dengan cadangan untuk meningkatkan persekitaran kawal selia dan dasar serta penyelesaian bukan dasar.

“Dapatan ini diperoleh dari perspektif kumpulan kerja awam-swasta yang terdiri daripada pihak berkepentingan dalam industri berkaitan, sektor kewangan dan akademik di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Difahamkan selain Amirul Feisal, laporan Komuniti itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, bersama Timbalan Ketua Setiausaha Tenaga, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Mohamad Razif Abd Mubin; Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengarah Urusan, World Economic Forum, Jeremy Jurgens; Ketua Strategi Utiliti Global Accenture, Dr Miguel G. Torreira dan Ketua Pelaburan Malaysia, Khazanah, Datuk Amran Hafiz Affifudin.

Amirul Feisal berkata, agenda tenaga bersih memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan, penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan para pelabur dengan satu matlamat untuk memacu inisiatif tenaga bersih negara dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

“Sektor swasta boleh bergerak seiring untuk menarik pelaburan dalam empat bidang tumpuan utama yang dikenal pasti dalam Laporan Komuniti ini dengan memanfaatkan lagi inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG), Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga bersih di rantau ini,” jelasnya.

Sementara itu Jeremy Jurgens berkata, komitmen Malaysia terhadap peralihan tenaga bersih dan masa depan bersih sifar harus dipuji.

“Kami berasa bangga bekerjasama dengan para pemimpin kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil yang dapat membantu menempatkan negara sebagai destinasi pilihan untuk modal tenaga bersih dan dapat menyokong lagi usaha-usaha peralihan tenaga di Malaysia dan rantau Asean,” ujarnya.

Sumber