Keyakinan pelanggan meningkat

Keyakinan pelanggan meningkat

BANK Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyasarkan dana pelaburan Al-Awfar mencecah RM1.02 bilion tahun ini dengan purata 100,000 akaun pelabur.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Runcit BIMB, Mizan Masram berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan pertumbuhan sehingga 20 peratus yang dicatatkan tahun lalu menerusi produk berkenaan.

MIZAN MASRAM

MIZAN MASRAM

“Setelah 13 tahun berada di pasaran, Al-Awfar menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan merekodkan saiz dana berjumlah hampir RM5.3 bilion menerusi 1.02 juta akaun.

“Peningkatan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap produk tersebut sekali gus memberikan kami semangat untuk sentiasa berinovasi dan berusaha memastikan Al-Awfar kekal relevan serta menarik minat pasaran.

“Berkat sokongan pelanggan juga, BIMB mampu melahirkan seramai 34 orang jutawan sejak produk ini dilancarkan dan kami akan berusaha keras untuk memastikan lebih ramai pelanggan mendapat manfaat daripada produk ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Al-Awfar, di sini pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan, seramai 14 pemenang cabutan bertuah Al-Awfar diraikan dengan empat daripadanya merupakan pemenang utama yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1 juta manakala selebihnya menerima sebuah kereta mewah model Mercedes-Benz atau Mazda CX-5.

Mengulas lanjut, Mizan berkata pihaknya optimis mampu mencapai sasaran berkenaan tahun ini ekoran dana pelaburan yang dicatatkan setakat Mac lalu mencecah RM48.4 juta menerusi 10,000 akaun.

“Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, pelanggan mempunyai kesedaran untuk menyimpan dengan berhemah serta membuat pelaburan bijak.

“Berpandukan kepada corak peningkatan dana terutamanya semasa tempoh pandemik Covid-19, rata-rata pelanggan kami mempunyai kesedaran kewangan yang kukuh dan baik,” ujarnya.

Mizan berkata, Al-Awfar merupakan akaun pelaburan inovatif berisiko rendah berdasarkan konsep mudarabah iaitu perkongsian untung yang dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan kukuh.

Katanya, pelaburan tersebut terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

“Pada 2021, Al-Awfar memberi peluang kepada lebih 10,000 pemenang dengan lebih 30 pemenang di setiap negeri pada setiap bulan.

“Hadiah terkumpul yang ditawarkan berjumlah RM15 juta termasuk kereta, pakej percutian atau umrah, wang tunai dan peralatan elektronik,” katanya.

Dalam pada itu Mizan memaklumkan, BIMB turut memperkenalkan Kempen Elite 3.0 yang meningkatkan peluang kepada pelanggan Al-Awfar memenangi hadiah menerusi cabutan bulanan, suku tahun dan separuh tahun.

Kempen yang bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2022 itu memberi peluang kepada pelanggan yang layak untuk menerima tambahan unit kelayakan mengikut jumlah pegangan selama 40 hari.

Pemenang bertuah

Sementara itu pemenang cabutan utama Al-Awfar, Ruth Anak Sabit ketika ditemui menyatakan kesyukuran kerana terpilih sebagai penerima wang tunai RM1 juta sekali gus dinobatkan sebagai Jutawan Al-Awfar.

Mizan (kiri) menyerahkan replika cek RM1 juta kepada Ruth Anak Sibat (tengah) diiringi oleh Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai BIMB, Mohd Noor Jab (kanan) di Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar.

Mizan (kiri) menyerahkan replika cek RM1 juta kepada Ruth Anak Sibat (tengah) diiringi oleh Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai BIMB, Mohd Noor Jab (kanan) di Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar.

“Saya tidak sangka terpilih sebagai jutawan Al-Awfar dan sememangnya akan gunakan wang ini sebaik mungkin untuk masa depan. Saya rancang mengerjakan umrah menggunakan wang kemenangan ini nanti,” katanya.

Bagi pemenang cabutan khas, Saian Majid berkata, kereta mewah Mercedes-Benz yang dimenanginya itu memberi inspirasi kepadanya untuk terus setia dengan produk Al-Awfar.

Mizan Masram (kiri) menyerahkan replika cek kunci kereta Mercedes kepada Saian Majid (duduk tengah) di Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar.

Mizan Masram (kiri) menyerahkan replika cek kunci kereta Mercedes kepada Saian Majid (duduk tengah) di Majlis Penyampaian Hadiah Al-Awfar.

“Saya rasa bersyukur kerana terpilih untuk memenangi kereta mewah Mercedes-Benz dan akan gunakannya sebaik mungkin untuk memudahkan pergerakan ke mana sahaja.

“Saya akan terus melabur dalam Al-Awfar kerana yakin dengan produk pelaburan ini,” katanya.

Sumber