Jualan Mitsubishi Motor meningkat 27 peratus

Jualan Mitsubishi Motor meningkat 27 peratus

Mitsubishi XPANDER kekal sebagai MPV bukan nasional paling popular di Malaysia dengan jualan berkembang sebanyak 52.2 peratus berbanding tahun kewangan 2021.

Mitsubishi XPANDER kekal sebagai MPV bukan nasional paling popular di Malaysia dengan jualan berkembang sebanyak 52.2 peratus berbanding tahun kewangan 2021.

TREND jualan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) terus meningkat pada tahun kewangan 2022 (April 2022 – Mac 2023) dengan 27 peratus lebih banyak kenderaan dijual berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Syarikat itu menjual 24,315 unit dengan penguasaan pasaran 3.2 peratus, mengekalkan kedudukan tiga teratasnya dalam senarai jualan automotif bukan nasional.

“Mitsubishi XPANDER kekal sebagai MPV bukan nasional paling popular di Malaysia dengan jualan berkembang sebanyak 52.2 peratus berbanding tahun kewangan 2021,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Triton menyaksikan pertumbuhan jualan 12 peratus dengan 10,520 unit terjual, sekali gus mengekalkan pegangan pasaran yang kukuh sebanyak 18 peratus, tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Shinya Ikeda berkata ,Triton dan XPANDER telah menjadi “pemangkin kepada pertumbuhan jualan pada tahun kewangan 2022”.

Menurut Ikeda di pasaran global pula, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) baru-baru ini melancarkan Mitsubishi XRT, kereta konsep Triton serba baharu di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke-44 2023.

Mengenai Asia Cross Country Rally 2023 yang bakal diadakan, beliau berkata Pasukan Mitsubishi merancang untuk bersaing menggunakan model prototaip merentas desa Triton yang serba baharu dalam usahanya meraih kemenangan kedua berturut-turut.

“Penyertaan kami dalam perlumbaan ini akan dicerminkan bukan sahaja melalui model Triton baharu tetapi juga merentasi rangkaian luas kenderaan Mitsubishi.

“Kami optimis tentang masa depan jenama Mitsubishi Motors dan kehadirannya di Malaysia,” tambahnya. – Bernama

Sumber