Imar sasar perolehan ekonomi RM4.6 bilion

Imar sasar perolehan ekonomi RM4.6 bilion

SEKRETARIAT Inisiatif Madani Serantau (Imar) menyasarkan perolehan ekonomi sebanyak RM4.6 bilion melalui kerjasama antara 50 usahawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dari negara Asia dalam tempoh tiga tahun.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) Pemadanan Perdagangan yang mengandungi tujuh terma antaranya untuk meneroka potensi kerjasama rangkaian perniagaan dalam 13 bidang yang dipersetujui.

Pengerusi Imar, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha itu dilakukan bagi mengembang dan meningkatkan ekonomi Malaysia terutama bersama Thailand selain beberapa negara lain iaitu Bangladesh, Indonesia dan Kemboja.

Katanya, sebelum itu persidangan dilakukan selama dua hari bagi membincangkan isu seperti prosedur import eksport antara negara-negara merangkumi sudut peraturan dan undang- undang.

“Antara sektor yang akan diterokai ialah produk pertanian, industri makanan dan minuman, keterjaminan makanan serta industri tenaga hijau dan tenaga perbaharui.

“Kami yakin banyak penambahan yang boleh diusahakan dalam membangun ekonomi sempadan dan mewujudkan zon ekonomi sempadan yang maju,” katanya selepas hari terakhir sidang dan Majlis Menandatangani MoU Pemadanan Perdagangan di sini pada Isnin.

Mohd Azmi (tiga dari kiri) melihat dokumen yang selesai ditandatangani oleh wakil-wakil pada Isnin. - Foto ihsan pembaca

Mohd Azmi (tiga dari kiri) melihat dokumen yang selesai ditandatangani oleh wakil-wakil pada Isnin. – Foto ihsan pembaca

Menurut beliau, MoU tersebut akan diserahkan kepada beberapa pemimpin kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Thailand pada minggu depan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.

Katanya, Imar juga mengusulkan supaya sebuah dewan perniagaan sempadan Malaysia-Thailand diwujudkan bawah inisiatif untuk mempergiatkan rangkaian perdagangan berasaskan nilai ekonomi madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, yakin dan ihsan.

“Kami mendapati mekanisme perdagangan sempadan perlu dirangka secara jelas dan inklusif. Konsep pemerataan ekonomi yang melibatkan semua peringkat termasuk rakyat bawahan perlu diaplikasikan dalam membangunkan struktur ekonomi.

“Ekonomi rakyat secara formal dan tidak formal perlu diambil kira maka, mekanisme dan urus kelola yang baik dalam perdagangan antara negara sangat diperlukan,” ujarnya.

Tambah Mohd Azmi, Imar turut bersepakat mewujudkan gabungan pakar dalam pelbagai industri untuk memajukan ekonomi serantau melalui potensi pasaran di Asia.

“Kami melihat pasaran Asia boleh menerajui ekonomi global dengan sumbangan yang besar dan meningkatkan status negara untuk berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.

“Perkembangan ekonomi hanya dapat dicapai jika konsep damai dan memelihara hak serta keadilan sosial dijaga di setiap negara,” kata beliau.

Sumber