IHPR Malaysia terus kekal tinggi, catat 11 peratus pada April 2022

IHPR Malaysia terus kekal tinggi, catat 11 peratus pada April 2022

KENAIKAN Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, kekal dua digit pada kadar 11.0 peratus pada April 2022 berbanding 11.6 peratus direkodkan pada Mac 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHPR pengeluaran tempatan pada April 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 18.4 peratus berbanding 28.2 peratus yang dicatatkan pada Mac 2022.

“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan 18.0 peratus (Mac 2022: 24.9 peratus) didorong terutama kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.8 peratus) dan perikanan (7.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan bagi April 2022 pada Selasa.

Beliau berkata, pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 9.8 peratus berbanding 8.9 peratus yang dicatatkan pada Mac 2022, disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (23.4 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (23.4 peratus) serta pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.9 peratus).

Tambahnya, indeks bekalan air dan bekalan elektrik serta gas masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.6 peratus.

Mohd Uzir berkata, dari segi perbandingan bulan ke bulan, pada April 2022, IHPR pengeluaran tempatan meningkat sederhana 0.2 peratus berbanding 2.4 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, kenaikan sederhana ini disumbangkan oleh indeks pembuatan yang meningkat 1.4 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan (3.6 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (2.4 peratus) dan pembuatan komponen dan papan elektronik (1.0 peratus).

“Bagaimanapun, kenaikan IHPR pengeluaran tempatan pada April 2022 juga diimbangi dengan penurunan dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang merekodkan negatif 2.9 peratus (Mac 2022: 8.6 peratus) disebabkan oleh penurunan pada indeks buah tandan segar kelapa sawit (-4.3 peratus),” katanya.

Beliau berkata, tambahan pula, indeks perlombongan turut mencatatkan penurunan 6.6 peratus pada April 2022 (Mac 2022: 5.0 peratus) dipacu oleh penurunan dalam indeks minyak mentah (-8.6 peratus).

“Selain itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat 0.7 peratus dan 0.2 peratus,” katanya.

Ketua Perangkawan berkata, mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 17.1 peratus pada April 2022 berbanding 23.3 peratus direkodkan pada Mac 2022.

Beliau berkata, kenaikan ini disumbangkan oleh indeks bahan bukan makanan (19.9 peratus) dan bahan makanan dan makanan untuk binatang (2.0 peratus).

“Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus mencatatkan peningkatan lebih tinggi 13.1 peratus pada April 2022 (Mac 2022: 12.5 peratus) didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses dan pelincir (19.5 peratus), bahan dan komponen untuk pembuatan (14.3 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembinaan (4.5 peratus).

“Indeks barang siap turut mencatatkan peningkatan pada April 2022 dengan 1.1 peratus (Mac 2022: 0.4 peratus),” katanya.

Beliau turut menjelaskan perbandingan pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 3.5 peratus berbanding kenaikan 6.7 peratus yang direkodkan pada Mac 2022.

“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 1.8 peratus, manakala indeks barang siap meningkat sederhana 0.3 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pada April 2022, harga minyak mentah turun sedikit, daripada AS$115.6 setong pada Mac 2022 kepada AS$105.8 setong disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ketidaktentuan prospek bekalan dan permintaan serta kebimbangan terhadap lonjakan kes Covid-19 di China memandangkan negara itu merupakan pengguna utama komoditi ini.

Beliau berkata, pengumuman oleh Agensi Tenaga Antarabangsa dalam siaran akhbar pada 1 April, 2022 di mana 31 negara anggota telah bersetuju untuk mengeluarkan minyak daripada rizab kecemasan sebagai tindak balas kepada kegawatan pasaran yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, juga mempengaruhi harga minyak mentah.

Di samping itu, harga komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit mentah (MSM) turut menurun daripada RM6,867.00 sat tan pada Mac 2022 kepada RM6,678.00 satu tan pada April 2022, sebahagian besarnya disokong oleh permintaan global yang lemah selain harga minyak sayuran lain yang turut rendah.

Beliau berkata, kejatuhan harga komoditi pada April 2022 mungkin mengurangkan tekanan inflasi.

“Namun begitu, harga dilihat masih tinggi dan ketidakpastian arah aliran harga pada bulan-bulan akan datang masih menimbulkan kebimbangan,” katanya. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber