Belum ada M&A buat masa sekarang

Belum ada M&A buat masa sekarang

KETUA Pegawai Eksekutif AMMB Holdings Bhd (AmBank Group), Datuk Sulaiman Mohd Tahir menolak sebarang kemungkinan usaha penggabungan dan pengambilalihan (M&A) buat masa ini.

Semasa sidang media maya selepas mengumumkan keputusan kewangan AmBank Group untuk tahun penuh berakhir 31 Mac 2022 pada Selasa, beliau berkata, kemungkinan Grab Holdings Inc memperoleh kepentingan dalam AmBank hanyalah satu khabar angin.

“Sudah jelas mereka mempunyai lesen sekarang dan bekerjasama dengan Kuok Brothers untuk menubuhkan bank digital. Persoalannya, adakah mereka mahu melabur dalam bank fizikal?

“Ini tetap hanya sekadar cakap-cakap. Tiada apa yang konkrit, oleh itu, saya tidak melihat ia akan berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai berita bahawa Grab Holdings Inc sedang mengintai kepentingan dalam bank itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Jamie Ling.

Menurut laporan media, Grab dikatakan sedang mencari peluang bagi membeli kepentingan dalam AmBank dan penjual terbabit berkemungkinan merupakan dua pemegang saham terbesar kumpulan perbankan itu iaitu Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) yang memiliki 21.68 peratus kepentingan dan Tan Sri Azman Hashim yang memegang 11.83 peratus kepentingan ekuiti.

Sulaiman juga menambah bahawa tidak ada perbincangan mengenai kemungkinan penggabungan antara AmBank dan RHB Bank Bhd, serta menekankan pengambilalihan bank, terutama saluran fizikal akan menjadi langkah yang agak mahal kerana ia melibatkan penyatuan antara entiti.

“Ini tidak akan menguntungkan industri perbankan semasa. Matlamatnya sekarang adalah untuk mengembangkan asas pelanggan termasuk pendigitalan yang pastinya merupakan cara yang lebih berdaya maju untuk dilaksanakan.

“Setakat ini, kami tidak pernah terlibat dalam perbincangan dengan mana-mana bank mengenai sebarang penggabungan atau pengambilalihan,” ujarnya. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber