Harga minyak sawit terjejas

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > AKTIVITI > Harga minyak sawit terjejas

Harga minyak sawit terjejas

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah susulan kebimbangan terhadap permintaan yang lemah, menurut seorang peniaga.

Pedagang minyak kelapa sawit, David Ng berkata kelemahan dalam pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan Bursa Komoditi Dalian turut memberi tekanan kepada harga MSM.

“Bagaimanapun, kelembapan dalam pengeluaran dilihat akan menyokong harga dalam tempoh terdekat. Kami mencari sokongan pada RM5,300 satu tan dan rintangan pada RM5,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan bahawa stok MSM Malaysia jatuh 7.7 peratus kepada 786,828 tan pada Januari 2022 berbanding 852,339 tan yang direkodkan semasa Disember 2021 di tengah-tengah pengeluaran yang lebih rendah.

Jumlah inventori minyak sawit susut 3.9 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.55 juta tan daripada 1.61 juta tan, dengan simpanan minyak sawit yang diproses meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 765,586 tan berbanding 761,717 tan sebelumnya.

Sementara itu, juruukur kargo Intertek Testing Services (ITS) menyatakan eksport produk minyak sawit Malaysia untuk 1 hingga 10 Februari jatuh 5.0 peratus kepada 318,078 tan daripada 334,750 tan yang dihantar pada 1 hingga 10 Januari.

Menurut Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, prestasi eksport minyak kelapa sawit 1 hingga 10 Februari lepas masih lemah dengan ITS menganggarkan penyusutan lima peratus.

“Perlu diperhatikan untuk melihat bagaimana destinasi akan bertindak balas terhadap harga minyak kelapa sawit yang tinggi termasuk premium berbanding minyak saingan yang lain,” katanya.

Pada penutup niaga hadapan MSM bagi Februari kehilangan RM25 kepada RM5,740 satu tan, Mac 2022 susut RM55 kepada RM5,649 satu tan, April 2022 merosot RM59 kepada RM5,535 satu tan, Mei 2022 jatuh RM70 kepada RM5,388 satu tan, Jun 2022 adalah RM81 lebih rendah kepada RM5,234 satu tan dan Julai 2022 berkurangan sebanyak RM81 kepada RM5,078 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 74,261 lot daripada 115,730 lot semalam, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 280,440 kontrak berbanding 318,979 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Februari jatuh RM20 kepada RM5,800 satu tan. – Bernama

Sumber