Harga Maksimum Ayam Standard, Ayam Super dan Telur Ayam Dikekalkan sehingga 30 Jun 2022

Harga Maksimum Ayam Standard, Ayam Super dan Telur Ayam Dikekalkan sehingga 30 Jun 2022

Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 seperti yang telah dipersetujui oleh Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 01 Jun 2022 bagi setiap harga maksimum runcit Ayam Standard, Ayam Super dan Telur Ayam.

Disamping itu, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan, setiap pihak memainkan peranan penting melalui cara menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP supaya pelaksanaan penentuan harga ini akan berkesan.

Pelaksanaan penentuan Harga Maksimum Ayam dan telur ayam ini telah bermula pada 05 Februari 2022 dan sepatutnya berakhir pada 05 Jun 2022 dimana harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia telah ditetapkan seperti berikut:

  1. Ayam Bulat Standard: RM 8.90 / kg
  2. Ayam Bulat Super: RM 9.90 / kg
  3. Telur Ayam Gred A: RM 0.43 / biji
  4. Telur Ayam Gred B: RM 0.41 / biji
  5. Telur Ayam Gred C: RM 0.39 / biji

Harga Maksimum Ayam dan Telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan.  Untuk keterangan lanjut, sila rujuk daftar harga “Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam Berkuat Kuasa 05 Februari Hingga 05 Jun 2022” (yang kini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022) yang telah diedarkan sebelum ini.

Sebagai Kerajaan yang prihatin, bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum dan telur tamat pada 30 Jun 2022, cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah akan diteliti oleh Kementerian Kewangan termasuklah kadar dan mekanisme penyaluran bantuan.

Selain itu, penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara terus ditingkatkan oleh pegawai-pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

Tidak ketinggalan, komuniti peniaga diingatkan supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.  Rakyat Malaysia turut diseru oleh Kerajaan supaya menggunakan kuasa beli dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.