MR D.I.Y anjur pertandingan seni pertama, tarik ribuan penyertaan

MR D.I.Y anjur pertandingan seni pertama, tarik ribuan penyertaan

PETALING JAYA – Peruncit perkakas rumah, Kumpulan MR D.I.Y menerusi penganjuran pertandingan seni pertamanya mendapat sambutan penyertaan yang memberansangkan daripada seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Menerusi tema ‘Kita Jaga Kita. What’s Next Malaysia?’, pertandingan itu mendapat lebih seribu penyertaan daripada bakat-bakat seni tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, pertandingan itu bertujuan memupuk penghargaan ke atas karya seni Malaysia yang akan memperkaya dan mempelbagaikan ekosistem kreatif.

“Malaysia mempunyai begitu ramai bakat kreatif namun tidak banyak platform untuk mereka mempamerkan kebolehan masing-masing kepada audiens yang lebih besar.

“Sebagai jenama kelahiran Malaysia, MR D.I.Y ingin menyediakan sebuah platform yang mampan untuk bakat-bakat ini diasah dan diperkembang.

“Ia merupakan salah satu cara kami menambah nilai kepada negara dan kehidupan rakyat Malaysia. Kami berharap agar organisasi-organisasi lain akan turut sama berbuat demikian,” katanya.

>

Adrian Ong

Adrian Ong

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jumaat.

Pemenang hadiah utama pertandingan yang julung kali diadakan itu dimenangi oleh artis taman tema, Mohd Syazwan Abd Rahim, 28, menerusi karya seni bertajuk ‘Upside Down’ yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Bagi anugerah pilihan juri bertajuk ‘Bersama-sama, Together We Are Stronger’ dimenangi pelajar, Koo Yean Ni, 28, yang membawa pulang wang tunai RM6,000.

Bagi anugerah pilihan CEO, ia dimenangi pelajar, Nur Air Amirah Mohd Nazir, 23, yang membawa pulang wang tunai RM4,000.

Sementara itu, Mohd Syazwan berkata, dia tidak menjangka memenangi hadiah utama pertandingan yang diadakan oleh Kumpulan MR D.I.Y itu.

“Terkejut juga. Saya dengar ramai yang sertai termasuk daripada rakan-rakan yang masuk bertanding. Memang tak jangka boleh menang.

“Alhamdulillah dengan juri yang banyak membantu. Terima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai wang kemenangannya, Mohd Syazwan yang berasal dari Shah Alam berkata, ia akan digunakan untuk menyusun semula kariernya sebagai seorang artis.

“Insya-ALLAH saya akan susun semula karier saya sebagai seorang artis.

“Saya kena tetapkan pelan untuk tempoh masa yang panjang, apa yang saya nak lakukan untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang,” ujarnya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber