Harga getah turun selepas meningkat empat hari berturut-turut

Harga getah turun selepas meningkat empat hari berturut-turut

PASARAN getah Malaysia mengakhiri kenaikan empat hari berturut-turut pada Jumaat di tengah-tengah kebimbangan baharu terhadap hubungan China-Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden AS, Joe Biden mengeluarkan perintah presiden untuk menyekat sebahagian pelaburan AS dalam teknologi China, kata seorang peniaga.

Langkah yang dikenakan AS bertujuan melindungi keselamatan negaranya dan menghalang modal serta kepakaran untuk membantu pemodenan ketenteraan China.

Peniaga berkata, perkembangan itu menambahkan lagi ketidaktentuan di kebanyakan pasaran selain reaksi bercampur-campur terhadap data inflasi AS yang terkini dan kebimbangan kepada pertumbuhan China yang perlahan.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Julai mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.2 peratus, melebihi 3.0 peratus pada Jun, walaupun merosot sedikit berbanding ramalan konsensus sebanyak 3.3 peratus.

Bagaimanapun, peniaga berkata ini bermakna Rizab Persekutuan AS mungkin menurunkan dasar monetarinya untuk menyokong pertumbuhan masa depan dan langkah ini dijangka baik untuk sentimen pasaran pada masa depan.

Harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 2.5 sen kepada 584.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal rendah 1.5 sen kepada 474.5 sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 berada pada 587.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 471.5 sen sekilogram. – Bernama

Sumber