Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini, dibuka lebih tinggi seiring dengan pemulihan mendadak semalaman Wall Street selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengambil langkah menyokong kenaikan kadar yang lebih kecil selain kemungkinan Bank Negara mengekalkan kadar faedah semasa sehingga akhir Jun, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.71 mata kepada 1,608.81 daripada 1,598.10 pada penutup Rabu.

Indeks utama meraih 10.59 mata ketika dibuka kepada 1,608.69.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 243 berbalas 89, manakala 188 kaunter tidak berubah, 1,720 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencatatkan sebanyak 112.34 juta unit bernilai RM84.44 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, indeks utama itu berkemungkinan mengekalkan keuntungannya berikutan lonjakan dalam harga minyak mentah, selepas perjanjian global untuk mengeluarkan rizab minyak mentah gagal mengurangkan kebimbangan gangguan bekalan.

Harga minyak mentah melambung melebihi paras AS$112 setong, manakala harga minyak sawit mentah diniagakan melepasi paras RM6,600 satu tan.

“Kami percaya saham-saham berkaitan tenaga, perladangan dan logam terpilih akan didagangkan dalam pergerakan aliran menaik dalam tempoh terdekat di tengah-tengah ketegangan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine,” katanya dalam satu nota pada Khamis.

Ia turut menambah penunjuk teknikal kekal positif dengan paras sokongan ditetapkan pada 1,580-1,570 manakala rintangan ditambat sekitar 1,615.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare meningkat empat sen masing-masing kepada RM8.98 dan RM6.66, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.44, Petronas Chemicals mengembang 16 sen kepada RM9.93 dan Press Metal menambah 10 sen kepada RM7.17.

Bagi saham aktif, DNex meningkat tiga sen kepada RM1.17, Tafi Industries naik 2.5 sen kepada 79.5 sen dan Hibiscus Petroleum menokok satu sen kepada RM1.23.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 74.81 mata kepada 11,447.28, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 78.13 mata kepada 12,218.70, FBM 70 mengukuh 93.99 mata kepada 13,559.13, Indeks FBMT 100 peroleh 74.71 mata menjadi 11,123.45 dan Indeks FBM ACE naik 7.12 mata kepada 5,761.01.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 2.25 mata kepada 214.61 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 110.42 mata kepada 16,463.99, manakala Indeks Perladangan menambah 66.20 mata kepada 8,676.24. – Bernama

Sumber