Che Had dilantik Pengerusi BDB

Che Had dilantik Pengerusi BDB

ALOR SETAR – Bina Darulaman Bhd (BDB) melantik Che Had Dhali, 57, sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa Selasa.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BDB berkata, Che Had mempunyai lebih 33 tahun pengalaman dalam perniagaan perundingan hartanah.

Katanya, Che Had memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan penilaian dan perundingan aset dengan syarikat antarabangsa Jones Lang Wootton, Arthur Lim Valuers dan Henry Butcher, Lim & Long (N) Sdn Bhd, sebelum menyertai Jurunilai Bersekutu pada 1992 dan jawatan terakhirnya di Jurunilai Bersekutu ialah sebagai Eksekutif Pengarah.

“Pada 2008, beliau dijemput menyertai Kerajaan Kedah sebagai Pegawai Khas merangkap Penasihat Syarikat Berkaitan Ekonomi dan Kerajaan kepada Menteri Besar Kedah ketika itu dan beberapa syarikat syarikat berkaitan kerajaan negeri lain sehingga 2010,” katanya.

Tambah kenyataan terbabit, semasa berkhidmat dengan Kerajaan Kedah, Che Had terbabit dalam rundingan antarabangsa serta mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri di Australia, Papua New Guinea, Thailand, Indonesia, United Kingdom, Belanda, Jerman, Denmark, Qatar, Dubai, Bahrain, Mesir, Iran, Yaman dan beberapa negara lain.

“Pembabitan beliau dalam perkhidmatan perundingan hartanah selama lebih 33 tahun meliputi pelbagai negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan serta khusus dalam kes pengambilan tanah, pasaran dan kajian daya maju untuk pembangunan besar,” katanya.

Menurutnya, Che Had baru-baru ini diperakui International Association of Certified Valuation Specialists (IACVS) sebagai Pakar Penilaian Antarabangsa.

Beliau kini Penilai Berdaftar merangkap Ejen Hartanah Berdaftar untuk IM Global Property Consultants dan kini mengetuai cawangan Kedah.

Untuk rekod, Che Had sebelum ini pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah BDB pada 3 April 2008 sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas dan kemudiannya dilantik semula sebagai pengarah bebas.

“Che Had kemudiannya meninggalkan BDB pada 30 Mei 2013,” katanya.

Sumber