Dari pejabat berhawa dingin kini berniaga tepi jalan

Dari pejabat berhawa dingin kini berniaga tepi jalan

DAHULUNYA duduk di kerusi empuk dalam pejabat berhawa dingin namun kini seorang bekas penolong pemasaran sebuah hotel meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga makanan di tepi jalan.

Situasi itu dialami Mohd Nadzri Moin, 52, yang merupakan antara individu hilang pekerjaan kesan pandemik melanda dunia sejak 2020.

Mohd Nadzri berkata, komitmen tinggi antara faktor menyebabkan dia memberanikan diri memulakan perniagaan daripada makan gaji.

“Semasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya bekerja dari rumah hampir setahun sebelum masuk tahun kedua syarikat terpaksa melakukan penjimatan kos dengan memberhentikan pekerja atau gaji dipotong separuh.

“Disebabkan bebanan kerja dan komitmen tinggi saya terpaksa melepaskan jawatan tersebut dan memilih berniaga di tepi jalan bagi menyara keluarga,” kongsinya kepada Sinar Harian.

Dia bersama isteri berniaga pencuci mulut dari Indonesia Es Teler Abang Gostan sejak tahun lepas bermula di bazar Ramadan sebelum membuka tapak Setapak dan kini berpindah berhampiran Aeon Big Puchong Utama.

Katanya, cetusan idea itu datang daripada kenalan di Indonesia yang berpandangan produk itu berpotensi untuk dikembangkan memandangkan belum banyak didapati dalam negara.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan menggalakkan dalam kalangan orang Indonesia yang bekerja di Malaysia selain pelanggan tempatan yang sememangnya suka mencuba makanan lain daripada lain.

“Es teler menggunakan tiga bahan utama iaitu avokado yang kami ambil dari negara seberang setiap tiga minggu sekali manakala nangka madu dan isi kelapa kami beli di sini sahaja,” katanya.

Es Teler Abang Gostan

Es Teler Abang Gostan

Katanya, pencuci mulut tersebut mempunyai lima pilihan dan dijual antara RM8 hingga RM10.

Katanya, walaupun gaji tidak mewah dahulu namun perniagaan yang diusahakan itu cukup membayar ansuran rumah dan menampung makan mereka sekeluarga.

Justeru dia menasihatkan orang ramai yang mengalami nasib serupa iaitu hilang pekerjaan semasa Covid-19 supaya tidak berputus asa.

“Kita kena terima hakikat walaupun pahit untuk ditelan namun kita kena percaya kepada rezeki dan sentiasa berikhtiar.

“Kalau tiada Covid-19 mungkin sampai bila-bila pun saya tiada keberanian untuk berniaga. Besar harapan saya usaha saya berniaga di tepi jalan Ini mampu dikembangkan ke kedai pula satu hari nanti,” katanya.

Sumber