Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal

Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal

BURSA Malaysia meningkat pada sesi dagangan awal Rabu dan mengatasi penyusutan sebelum ini, sekali gus membuktikan berlakunya aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan sokongan belian pada akhir urus niaga semalam.

Pada 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.69 mata kepada 1,485.26 daripada 1,482.57 pada Selasa.

Indeks utama tersebut dibuka naik 1.53 mata kepada 1,484.10.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 160 berbanding 114 manakala 199 kaunter lain tidak berubah, 1,859 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 181.58 juta unit bernilai RM74.35 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata, belian sederhana ke atas ekuiti tempatan pada sesi petang dagangan Selasa telah membolehkan FBM KLCI kekal melepasi paras 1,480.

“Pada Rabu, kami menjangkakan belian itu akan berterusan dengan melibatkan saham berkaitan teknologi dan tenaga apabila minyak mentah Brent sekali lagi melonjak lebih US$100 setong berikutan berita mengenai kemungkinan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluarannya.

“Oleh itu, kami mengunjurkan indeks utama itu berlegar dalam julat 1,480-1,500 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, saham-saham wajaran tinggi seperti Maybank naik satu sen kepada RM8.84, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat dua sen kepada RM4.62 dan RM8.60, CIMB Group meraih enam sen kepada RM5.34 dan Petronas Chemicals susut 21 sen pada RM8.35 dan IHH Healthcare turun tiga sen pada RM6.31.

Bagi saham aktif, Euro Holdings naik satu sen pada 14 sen, Hibiscus Petroleum menambah dua sen kepada 99.5 sen manakala Serba Dinamik rugi 2.5 sen pada 5.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 13.41 mata kepada 10,546.37, Indeks FBMT 100 meraih 14.95 mata kepada 10,292.48, FBM 70 naik 3.52 mata kepada 12,635.39 manakala FBM ACE menokok 3.15 mata kepada 4,894.95.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah susut 0.60 mata kepada 10,648.02.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 45.52 mata kepada 16,584.12, Indeks Perladangan susut 46.01 mata pada 7,105.86, Indeks Tenaga meraih 18.29 mata kepada 731.17 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.01 mata kepada 179.41. – Bernama

Sumber