Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur ambil sikap berhati-hati

Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur ambil sikap berhati-hati

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dengan para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati berikut kelemahan semalaman yang dicatatkan Wall Street serta pergerakan bercampur-campur bursa serantau yang lain, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.63 mata menjadi 1,451.11 daripada penutupan urus niaga Jumaat pada 1,456.74.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini 2.34 mata lebih rendah pada 1,454.40.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan saham rugi mengatasi saham untung dengan 179 berbalas 92 manakala 200 kaunter tidak berubah, 1,813 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 188.42 juta unit bernilai RM81.12 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, beberapa aktiviti memburu saham berharga murah dijangka muncul susulan penilaian munasabah ke atas indeks yang sedang berlegar pada masa ini.

Beliau berkata, Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan kebimbangan bahawa ekonomi Amerika Syarikat mungkin menghadapi kelembapan selepas beberapa data ekonomi meleset daripada jangkaan.

“Justeru, kami percaya bursa tempatan akan menyaksikan sedikit kenaikan hari ini dan menjangkakan ia berada dalam aliran antara 1,450 dan 1,470,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 15 sen menjadi RM8.73, Public Bank turun satu sen kepada RM4.48, Petronas Chemicals menguncup dua sen kepada RM9.50, IHH Healthcare lebih rendah sebanyak enam sen kepada RM6.22 manakala CIMB tidak berubah pada RM4.92.

Bagi saham aktif, SFP Tech menokok 34.5 sen kepada 64.5 sen, Dagang NeXchange dan LKL International masing-masing susut 1.5 sen kepada 79.5 sen dan 4.5 sen, MQ Technology turun setengah sen kepada 3.5 sen manakala KNM Group kekal pada 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 35.78 mata kepada 10,362.09, Indeks FBM Emas berkurangan 21.74 mata kepada 10,504.75, FBM 70 turun 32.55 mata menjadi 12,581.86, FBM ACE lemah 27.37 mata kepada 4,806.61 dan Indeks FBMT 100 kerugian 36.08 mata kepada 10,100.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 101.68 mata kepada 16,204.15, Indeks Perladangan turun 34.16 mata kepada 7,184.07 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.89 mata menjadi 185.42. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber