Bursa Malaysia alami penurunan selepas dibuka tinggi

Bursa Malaysia alami penurunan selepas dibuka tinggi

BURSA Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, namun mengalami penurunan selepas beberapa minit berikutan ia menjejaki sesi dagangan yang tidak menentu di Wall Street, kata penganalisis.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.39 mata kepada 1,437.73.

Indeks penanda aras pasaran itu dibuka 0.86 mata lebih tinggi kepada 1,438.98 daripada 1,438.12 ketika ditutup pada Isnin.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 126 berbanding 117, manakala 181 kaunter tidak berubah, 1,918 kaunter tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 150.56 juta unit bernilai RM46.50 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup rendah semalam, dipengaruhi oleh penurunan yang dialami saham teknologi apabila indeks utama gagal mengekalkan momentum mereka daripada peningkatan kukuh berterusan yang dicatatkan minggu lepas.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) susut 0.2 peratus, Indeks S&P 500 kurang 0.3 peratus dan Komposit Nasdaq merosot 0.72 peratus.

Firma pembrokeran dalam talian itu bagaimana optimis namun berhati-hati terhadap prestasi saham tempatan dalam jangka terdekat memandangkan sentimen serantau yang bertambah baik manakala penilaian indeks penanda aras kekal menarik berbanding dengan indeks serantau.


“Bagaimanapun, pelabur akan kekal berwaspada ekoran turun naik yang dialami di peringkat serantau dan global kekal ketara.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,430 hingga 1,450 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Axiata Group naik tiga sen kepada RM2.77, Maybank dan Dialog Group masing-masing menokok dua sen kepada RM8.60 dan RM2.15, manakala CIMB dan Press Metal Aluminium masing-masing menambah satu sen kepada RM4.93 dan RM4.70.

Public Bank susut satu sen kepada RM4.43, manakala Petronas Chemicals dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM9.20 dan RM6.48.

Bagi saham aktif, Green Packet dan Dagang Nexchange masing-masing turun setengah sen kepada enam sen dan 79 sen, Sapura Energy meningkat satu sen kepada 5.5 sen, manakala KNM dan Yew Lee masing-masing tidak berubah pada 12.5 sen dan 25 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah kurang 12.87 mata kepada 10,442.67; FBM 70 turun 19.38 mata kepada 12,505.17; Indeks FBM Emas susut 5.33 mata kepada 10,280.99; FBM ACE menguncup 24.24 mata kepada 4,807.41 dan Indeks FBMT 100 turun 5.78 mata kepada 10,015.25.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 0.54 mata kepada 16,014.59; Indeks Perladangan turun 0.40 mata kepada 6,922.46 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 182.88. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber