Bezza model Perodua paling laris tahun ini

Bezza model Perodua paling laris tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, bagi jualan kenderaan pula, ia terus meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 berbanding 127,343 kenderaan sebelumnya.

Katanya, Bezza merupakan model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan jumlah yang didaftarkan antara Januari dan Jun adalah sebanyak 40,555 unit diikuti Perodua Myvi (32,319 unit) dan Perodua Axia (28,199 unit).

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami.

“Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Zainal Abidin, antara penambahbaikan ketara yang dilakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing.

“Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023, peningkatan sebanyak satu peratus daripada 68,316 pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” ujarnya.

Beliau memberi contoh, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

“Walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan mungkin berlaku secara berkala.

“Bagaimanapun, kami masih teguh dengan sasaran kami dan berterima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas sokongan serta kesabaran mereka,” jelasnya.

Sumber